Thursday, September 23, 2010

IMAM AL-SYAFIE DALAM PERSOALAN KENDURI ARWAH

Oleh:
Mohd Hairi Nonchi

Adakah upacara tahlilan/kenduri arwah ini merupakan suatu yang dianjurkan oleh Imam al-Syafie dan para ulamak bermazhab Syafie sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak? Bagi menjawab persoalan ini, marilah kita perhatikan fatwa-fatwa Imam al-Syafie rahimahullah dan para ulamak bermazhab Syafie di bawah ini:

Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (204H)
Telah berkata Imam al-Syafie rahimahullah menerusi kitabnya, al-Umm, jld. 1, ms. 318:

وأكره الْمأتم وهي الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يحدد الحذن.

Maksudnya:
Aku benci al-ma’tam iaitu berkumpul-kumpul di rumah keluarga orang mati meskipun tidak ada tangisan kerana sesungguhnya yang demikian itu akan memperbaharui kesedihan.

Dalam kitab اعانة الطالبين, jld. 2, ms. 146 dinyatakan bahawa Imam al-Syafie rahimahullah berkata:

ويكره اتخاذ الطعام فى اليوم الاول والثالث وبعد الاسبوع ونقل الطعام القبور.

Maksudnya:
Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan.
Dalam kitab yang sama, jld. 2, ms. 146 dinyatakan:

وقال ايضأ: ويكره الضيافة من الطعام من اهل الميت لانه شرع فى السرور وهي بدعة.

Maksudnya:
Imam al-Syafie berkata lagi: Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli (keluarga) si mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah.

Juga dalam kitab yang sama, jld. 2, 146-147 disebut bahawa Imam al-Syafie rahimahullah berfatwa bahawa:

ومن البد المنكرة المكروه فعله ما يفعل الناس من الوحشة والجمع والاربعين بل كل ذلك حرام.

Maksudnya:
Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan (adat) orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) di hari keempat puluh (empat puluh harinya) padahal semuanya ini adalah haram.

Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H)
Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) berkata di dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, jld. 5, ms. 186 menyebut:

Adapun hidangan yang disiapkan oleh keluarga si mayat dan mengumpulkan orang ramai pada hidangan tersebut maka tidak ada satupun dalil yang menyebutkannya. Amalan seperti itu tidak dianjurkan, bahkan termasuk bid’ah.
Sementara itu, menerusi kitabnya yang sama, jld. 5, ms. 306 beliau menerangkan:

وأما الجلوس للتعزية: فنص الشافعي والمصنف أي صاحب المهذب وهو الشيرازي، وسائر الأصحاب على كراهيتة، ونقل الشيخ أبو حامد في (التعليق) وآخرون عن نص الشافعي، قاوا: يعني الجلوس لها، أن يجتمع أهل البيت في بيت، فيقصدون من أراد التعزية. قالوا: بل ينبغي أن ينصرفوا في حوائجهم، فمن صادفهم عزاهم، ولا فرق بين الرجال والنسآء في كراهة الجلوس لها.

Maksudnya:
Dan adapun berkumpul untuk takziah, maka (Imam) Syafie dan pengarang kitab al-Muhadzdzab iaitu al-Shirazi dan semua sahabat-sahabatnya, mereka telah menetapkan bahawa perbuatan itu adalah perkara yang dibenci. Syeikh Abu Hamid telah menukilkan dalam (al-Ta’liq) dan ulamak yang lain daripada nas Syafie, mereka mengatakan: yakni duduk untuk takziah iaitu keluarga si mati berkumpul di rumah lalu mereka menunggu orang yang ingin bertakziah.

Beliau berkata: Mereka mengatakan: Bahkan hendaklah mereka beredar pergi untuk berusaha memenuhi keperluan hidup mereka. Maka sesiapa yang terserempak menemui mereka, maka bolehlah dia bertakziah kepada mereka. Tidak ada perbezaan di antara kaum lelaki dan kaum wanita pada larangan duduk berkumpul (di rumah si mati) untuk tujuan bertakziah.

Dalam kenyataannya yang lain, beliau berkata ketika mengulas kenyataan Imam al-Syafie berkenaan amalan kenduri arwah:

واستدل له المصنف وغيره بدليل آخر وهو أنه محدث.

Maksudnya:
Pengarang (Imam al-Syafie) dan ulamak-ulamak yang lain berpendapat berdasarkan dalil yang lain bahawa perbuatan itu – yakni mengadakan perkumpulan – adalah merupakan bid’ah.

Syeikh Mustafa Khin, Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji
Berkata ketiga-tiga tokoh semasa bermazhab Syafie di atas menerusi kitab mereka, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, jld. 1, ms. 263 berkenaan hukum mengadakan kenduri arwah:

Antara amalan bid’ah yang dibuat oleh keluarga si mati ialah mengumpulkan orang ramai menjamu makanan mengikut berlalunya 40 hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan itu adalah hasil daripada harta peninggalan (si mati) sedangkan masih ada di kalangan mereka waris ada yang belum baligh, maka perbuatan itu termasuk dari perkara lebihan yang haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Setiap apa yang memanggil dan memakannya juga turut terbabit dalam melakukan perbuatan haram ini.
Mereka juga menyebut:

Menyusahkan keluarga si mati bagi menyediakan makanan dan menghimpunkan orang ramai kepada makanan itu seperti yang berlaku di zaman ini adalah bid’ah yang amat bertentangan dengan sunnah.
Dalam kitab yang sama, jld. 1, ms. 286 mereka juga menegaskan:

Keluarga si mati sibuk membuat makanan dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman sekarang. Perbuatan tersebut adalah bid’ah yang berlawanan dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Syeikh al-Ramli al-Syafie
Disebutkan di dalam kitab fiqh Hasyiyatul Qalyubi bahawa:

قال شخنا الرملي: ومن البدع المنكرة المكروهة فعلها كما في الروضة ما يفعله الناس مما يسمى الكفارة، ومن صنع طعاما للإجتماع عليه قبل الموت أو بعده ومن الذبح على القبور.

Maksudnya:
Syeikh kami, al-Ramli berkata: “Di antara bid’ah yang mungkarah (yang tidak dibenarkan agama) yang tidak disukai dikerjakan iaitu sebagaimana diterangkan dalam kitab al-Raudhah iaitu apa yang dikerjakan orang yang disebut kifarah dan hidangan makanan untuk acara berkumpul di rumah keluarga si mati, baik sebelum mahupun sesudah kematian dan juga penyembelihan di kuburan.

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari al-Syafie
Beliau yang merupakan seorang ulamak bermazhab Syafie menulis di dalam kitabnya Sabil al-Muhtadin, jld. 2, ms. 87:

Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya segala manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat.
Seterusnya beliau juga berfatwa:

Dan demikian juga makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya memperkenankan seruannya dan haram menyediakan makanan akan yang menangis dengan menyawak kerana yang demikian itu menolong atas perbuatan maksiat.

Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani al-Syafie
Dalam kitabnya, Kashfu al-Litham, jld. 1, ms. 85 beliau menjelaskan:

Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada memperusahakan makanan dan berhimpun manusia atasnya dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan washah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan 7 hari dan 20 dan 40 (hari) dan umpama yang demikian itu seperti yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela syarak kerana tegah pada syarak.

Sebenarnya masih terlalu banyak fatwa Imam al-Syafie dan para ulamak bermazhab Syafie berkenaan dengan keharaman mengerjakan kenduri arwah yang tidak sempat penulis kemukakan di sini. Walau bagaimanapun, penulis merasakan adalah cukup sekadar dinukilkan sebahagian sahaja ucapan mereka di sini sebagaimana yang telah penulis kemukakan di atas.

Kesimpulannya, jelas kepada kita bahawa majlis kenduri arwah iaitu mengadakan perkumpulan orang ramai di rumah keluarga si mati dengan persiapan makanan yang dibuat oleh keluarga si mati adalah perbuatan haram yang amat ditegah di sisi agama. Oleh sebab itu kita dapati Imam al-Syafie bersama para imam lainnya termasuk Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad secara ijmak/sepakat dalam mengharamkan kenduri arwah.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Abdurrahman al-Banna di dalam kitabnya berjudul Fathurrabbani Tartib Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, jld. 8, ms. 95-96:

Telah sepakat imam (mazhab) yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad) atas tidak disukainya keluarga si mati membuat makanan untuk orang ramai yang mana mereka berkumpul di situ berdalil dengan hadis Jarir bin Abdullah. Dan zahirnya adalah haram kerana meratapi mayat hukumnya haram, sedangkan para sahabat telah memasukkannya (yakni berkumpul-kumpul di rumah keluarga di mati) bahagian dari meratap dan ia (amalan) itu (jelas) haram.

Pengertian Bidaah Hasanah; Kupasan dari Mazhab Syafie

Antara ucapan (qaul) Imam al-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

ينقسم البدعة الى حسنة وسيئة، او محمودة ومذمومة. وعلى هذا تشتمل كل حادث بعد عصر الرسول الله صلى الله عليه وسلم وعصر. الخلفاء الراشدين.

Maksudnya:

Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik (hasanah) dan yang buruk (sayyi’ah) atau terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmumah). Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman Khulafa’ al-Rasyidin. [1]

عن حرملة بن يحي رحمه الله قال: سمعت الشافعي رحمه الله تعال يقول: البدعة بدعتان. بدعة محمودة و بدعة مذمومة. فما وافق السنة فهو محمود وما خالف السنة فهو مذموم.

Maksudnya:

Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata: Aku mendengar al-Syafie rahimahullah berkata: Bid’ah ada dua iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa yang bersesuaian dengan al-Sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan al-Sunnah maka itu tercela.[2]

وقال الربيع رحمه الله: قال الشافعي رحمه الله تعال: المحدثات من الامور ضربان: احدهما ما احدث يخالف كتابا او سنة او اجماعا او اثارا فهذه البدعة الضلالة. والثاني من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهي غير مذمومة.

Maksudnya:

Berkata ar-Rabi’ rahimahullah: Telah berkata al-Syafie rahimahullah: Perkara-perkara yang diada-adakan itu terbahagi kepada dua: Yang pertama, apa yang dicipta bertentangan dengan al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar, maka inilah bid’ah yang sesat. Kedua, apa yang dicipta berupa kebaikan yang tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar sahabat), maka itu ciptaan yang tidak tercela. [3]

Persoalan-persoalan (syubhat) yang timbul dari qaul Imam al-Syafie di atas telah dijelaskan oleh ulamak al-Salaf al-Shalih, antaranya Abdul Qayyum bin Muhammad Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah membincangkan dengan membawa keterangan berikut:

PERTAMA:

Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan dengan perkataan (sabda) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam walau siapa pun orangnya. Perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah hujah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi hujah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam[4] sedangkan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda tentang persoalan bid’ah:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

Maksudnya:

Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka.

Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anh berkata:

لَيْسَ اَحَد اِلاَّ وَيُؤْخَذُ مِنْ رَاْيِهِ وَيُتْرَكُ مَا خَلاَ النَّبِي صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya:

Tidak ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[5]

KEDUA:

Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam al-Syafie (membahagikan bid’ah kepada yang baik dan tercela) maka tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie ialah bid’ah dari segi bahasa bukan syar’i. Ini berdalilkan (kenyataan Imam al-Syafie) sesungguhnya setiap bid’ah dalam syarak (agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Imam al-Syafie sendiri mengaitkan bid’ah yang baik dengan apa yang tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana setiap bid’ah dalam syarak bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dan al-Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:[6]


Maksudnya:

Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.[7]

قال رسول الله صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya:

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang mengada-adakan (mencipta) yang baru dalam urusan (agama) ini yang bukan darinya maka ia tertolak. [8]

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya:

Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak.[9]

Apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie sebagai bid’ah yang mahmudah (baik/terpuji), misalnya pembukuan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia ada dasarnya dari syarak.[10]

Begitu juga dengan pembinaan madrasah kerana belajar itu wajib menurut syarak, pastinya pembelajaran yang sempurna dan selesai ialah madrasah. Semua yang berkaitan dengan dunia yang tidak memudaratkan adalah bid’ah keduniaan yang hasanah dan tidak bertentangan dengan syarak.

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa setiap bid’ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah bid’ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai bid’ah lantaran kurang memahami istilah bid’ah dari segi bahasa dan syarak. Adapun bid’ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara qath’i (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah dan jelas tiada dalilnya dari syarak.[11]

KETIGA:

Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam al-Syafie rahimahullah yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba’) kepada sunnah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan sangat benci kepada muqallid (orang yang bertaklid buta) dan orang yang menolak hadis Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang sesuatu perkara maka beliau menjawab:

Wahai orang yang bertanya! Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian aku tidak berkata dengannya? Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadis).

Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan pegangan Imam al-Syafie rahimahullah terhadap hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga melagakan pandangan beliau dengan hadis sahih[12] terutamanya hadis di bawah ini:

فَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya:

Sesungguhnya setiap yang bid’ah itu menyesatkan.

Yang paling tepat dan benar ialah perkataan Imam al-Syafie rahimahullah ini semestinya diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadis di atas bukan (dijadikan alasan) untuk menentang hadis tersebut, kerana apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie rahimahullah ialah bid’ah dari segi bahasa[13] (لغوي) sahaja bukan dari segi syarak atau dalam persoalan agama.

Imam al-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:

قال الشافعي رحمه الله تعالى: اذا وجد تم فى كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بها ودعواما قلته.

Maksudnya:

Berkata al-Syafie rahimahullah: Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan sunnah Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan. [14]

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي و ان لم تسمعوه مني.

Maksudnya:

Berkata al-Syafie rahimahullah: Setiap hadis daripada nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah mendengar dariku.

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل مسالة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند اهل النقل بخلاف ما قلت، فانا راجع عنها فى حياتي وبعد موتي.

Maksudnya:

Setiap masalah yang benar datangnya daripada Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam menurut ahli Naql sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali merujuk pada hadis itu selama hidupku atau setelah kematianku. [15]

عن الامام ابي حنيفة ومالك والشافعي واحمد انهم قالوا: لايحل لاحد ان يفتى بكلامنا او ياْخذ بقولنا ما لَم يعرف من اين اخذنا.

Maksudnya:

Dari Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil perkataan tersebut. [16]



[1] Lihat البدعة تحديدها ومو قف الا سلام منها ms. 160. Dr. Izzat Ali ‘Atiah. Darul Kitab al-Arabi, Lebnon.

[2] Lihat الباعث على انكار البدع والحوادث ms. 12. Abu Syamah asy-Syafie.

[3] Lihat الحاوي jld. 1, ms. 539 oleh Imam al-Suyuthi, Tahqiq oleh Muhammad Muhyidin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.

[4] Lihat:

1) اللمع فى الرد على محسني البدع ms. 36 Abdul Qayyum bin Muhammad bin Hashir as-Sahaibani.

2) منا قب الشافعي jld. 1, ms. 469.

3) الباعث على انكار البدع والحواد ث ms. 94. Syihabudin Abu Muhammad Abdul Rahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu Syamah.

[5] Lihat فتاو ائة المسلمين ms. 138 Mahmud Khatab as-Subki. Al-Istiqamah.

[6] Lihat اللمع فى رد على محسني البدع ms. 37. Abdul Qayyim bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.

[7] Surah al-Maidah: 5.

[8] Hadis riwayat Ahmad (no. 24840) dan al-Bukhari (no. 2499).

[9] Hadis riwayat al-Bukhari.

[10] Lihat: اللمع فى رد على محسني البدع ms. 38.

[11] Ibid.

[12] Ibid. ms. 39.

[13] Ibid. ms. 39.

[14] Lihat المجموع jld. 1, ms. 63.

[15] Lihat سير اعلام النبلاء jld. 10, ms. 34.

[16] Lihat:

1) الا حكام فى اصول الا حام jld. 1, ms. 145. Abu Ali bin Hazam al-Andulusi.

2) جامع بيان العم وفضله jld. 1, ms. 147. Abu ‘Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurthubi.

3) الفتاوى jld. 1, ms. 147.

assalammualaikum...

assalammualaikum...