Friday, June 5, 2009

Satu Terapi Rohani

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (manusia) kepada Allah dan mengerjakan amal salih dan ia berkata, “Sesungguhnya saya termasuk orang-orang yang berserah diri,” Fushilat ayat 33.

“Katakanlah, “ Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk kepada orang-orang yang musyrik.” Yusuf ayat 108.

Sahabatku, ia bolehlah dianggap sebagai satu fenomena alam yang sangat menarik untuk dikaji dan diselidiki. Lebih menarik dari tsunami, atau gempa bumi yang mengorbankan ribuan nyawa, atau juga lebih menarik dari segala fenomena yang berlaku di atas muka bumi ini. Selidikilah dan kajilah ia dengan saksama, dan carilah aspek kebaikan yang ada padanya. Luangkan masa untuk mendengar, merasa dan melihat secara langsung rahsia yang bakal tersingkap hasil penyelidikan dan kajian kita, insyaallah. Semoga Allah dengan kemurahan sifat Nya, mengurniakan kita kefahaman betapa disebalik hinaan, cercaan, makian dan pandangan jelik yang dilemparkan kepada pelakunya, fenomena alam yang dimaksudkan terus bergerak semakin besar dan semakin jauh dengan cara yang tersendiri. Pelakunya adalah mereka yang saban malam mampu menangis dalam sujud memohon Allah ampunkan dosa-dosa seluruh umat manusia dan dosa orang-orang Islam yang masih jauh dari amal agama. Mereka memohon agar masih ada rahmat Allah untuk umat ini, dan semoga Allah memberi kesempatan untuk umat ini bertaubat dan mendapat keampunan Allah SWT.

Mereka adalah sekumpulan manusia yang dalam hati mereka sentiasa ada rasa bimbang dan risau dengan nasib umat. Mereka adalah sekumpulan manusia yang sentiasa meluangkan masa untuk mengajak manusia kepada agama dan amal agama. Pada mereka, harta adalah amanah Allah untuk dibelanjakan di jalan Nya. Masa yang dimiliki adalah amanah Allah yang akan ditanya dimana ia dihabiskan. Merekalah yang setiap ketika diajar untuk menyampaikan risalah agama. Di setiap pertemuan, masalah umat menjadi topik perbualan mereka. Mereka berusaha untuk sentiasa menghidupkan amal di rumah-rumah Allah. Di segenap ceruk rantau, bandar dan desa, mereka mendatangi manusia dengan ajakan untuk amal agama. Mereka adalah sekelompok manusia yang reda meninggalkan keselesaan rumah tangga dan anak isteri, semata-mata kerana mahu menyampaikan betapa kejayaan sebenar semua manusia adalah di dalam mentaati perintah Allah SWT. Hati mereka sedih melihat umat yang jauh dari amal agama. Mereka menangis melihat perintah Allah diabai atau dilanggar. Dan mereka adalah sekelompok manusia yang berani mendatangi dan mendekati orang yang derhaka kepada Allah, dengan rasa kasih dan sayang. Pujuk, rayu dan doa adalah senjata sulit mereka yang menjadikan mereka sentiasa bersemangat waja.

Sahabatku, mereka juga adalah sekelompok manusia yang sentiasa diuji. Dalam keluarga, masyarakat dan jiran tetangga. Namun dalam doa mereka, mereka memohon agar sedikit kepayahan dan kesukaran itu, Allah jadikan sebagai asbab untuk hidayah Allah. Mereka tidak pernah meminta sumbangan wang atau makan minum. Kesederhanaan mereka seringkali mengundang kata nista, namun saban waktu mereka inilah juga yang sentiasa kelihatan berada di setiap masjid-masjid dan surau-surau. Mendatangi manusia yang suka atau benci, untuk menceritakan kebesaran Allah dan berita alam kubur dan akhirat. Mereka inilah yang sentiasa bersedia dihantar ke merata pelusuk dunia dengan biaya hasil titik peluh sendiri. Pada mereka, jika berkaitan dengan agama, ia adalah urusan dan tanggung jawab mereka yang mengaku beragama Islam. Dakwah Islam tidak akan diuruskan oleh orang Yahudi atau Nasrani. Mereka inilah kelompok yang sayangkan agama melebihi segala-galanya dan mereka sanggup melakukan apa saja untuk agama. Malah mereka sanggup kehilangan segala-galanya, tapi tidak agama.

Dakyah dan dakwah yahudi dan nasrani dapat menerobos masuk sehingga ke dalam bilik tidur kita dan bilik tidur anak-anak kita. Tapi sedikit pun tidak pernah kita risaukan. Tapi bila dakwah Islam datang kepada kita, kita membenarkan dakwah itu berhenti di setakat pintu pagar rumah kita saja. Lalu dengan raut wajah yang tidak selesa, kita terpaksa dengar percakapan mereka yang macam merapu tentang kisah syurga, neraka dan kematian. Seolah itu cerita yang diambil dari Hikayat 1001 Malam atau penglipur lara. Ada juga yang diusir sebelum salam mereka berjawab. Malah ada yang dilempari dengan batu agar jangan masuk ke kawasan kejiranan kita. Dan mereka inilah yang mengisi malam-malam mereka dengan munajat dan rintihan doa memohon keampunan bagi pihak kita. Allahhuakbar….

Sahabatku, mereka inilah yang belajar dengan tekun untuk menahan malu kerana agama. Mereka inilah yang sanggup menebalkan muka bercerita tentang kebesaran Allah pada kita tak kira di mana berjumpa. Pada mereka peringatan ini perlu disampaikan tidak mengira masa, keadaan dan tempat, kerana ajal juga tidak tentu datangnya. Mereka inilah sekelompok manusia yang belajar untuk mengikhlaskan perbuatan/kerja mereka semata-mata kerana Allah. Mereka memperoleh tarbiah yang tidak diajar di mana-mana kolej atau universiti di seluruh dunia. Walau di mana berada, walau bila masanya, walau apa keadaannya, itulah hamparan sejadah dan hamparan tidur bagi mereka. Jika mereka berkata-kata, dari mulut-mulut mereka keluar cerita kebesaran Allah, dan diam mereka adalah berzikir. Tiap helaan nafas dan keluh yang kedengaran akan beserta kalimat “Ya Allah….. hidayat Ya Allah.”

Merekalah juga sekelompok manusia yang sentiasa belajar dan berusaha menjaga kata, penglihatan dan pendengaran, agar digunakan ditempat yang hak. Mereka belajar untuk tidak bercakap sia-sia, tidak membazir dan berbaik sangka dengan kita. Mereka takut percakapan mereka menjadi sinis atau mengguris. Mereka belajar untuk tidak mudah menghukum. Dalam diam, hati mereka selalu berdoa. Tiap langkah di atur agar menjadi jihad. Dan mereka belajar menghulur tangan untuk menunaikan hak saudaranya, kerana mereka diajar untuk sentiasa menjaga dan menyambungkan silaturrahim.

Mereka adalah sekelompok manusia yang rindu tertegaknya syariat Islam di muka bumi ini. Matlamat mereka, kalimah hak “Lailaha illallah” tersebar di seluruh dunia. Mereka impikan semua umat manusia ini terselamat daripada siksa Allah dan mereka impikan semua manusia dapat masuk syurga Allah SWT.

Sahabatku, mereka ini adalah segolongan manusia yang menjadikan sabar dan kasih sayang sebagai strategi mereka. Cita-cita mereka amat tinggi dan tak tercapai dek akal kita. Mereka inilah kelompok manusia yang tidak pernah memikirkan untuk mati dan dikuburkan di kampung halaman mereka. Cita-cita mereka jika saat kematian itu mendekati mereka, biarlah ketika itu mereka berada jauh di hujung-hujung dunia. Dan yang menariknya sahabatku, meski merata pelusuk dunia mereka jelajahi, ribuan bahkan puluhan ribu ringgit telah mereka korbankan, dan sekian tahun telah mereka mengabdikan diri, jika kita tanyakan, kenapa melakukan ini semua? Mereka akan menjawab inilah keasyikkan untuk memperbaiki diri. Tidak sibuk untuk mencari kekurangan apatah lagi aib orang lain. Semua yang dilakukan adalah semata-mata untuk mentarbiah diri sendiri yang merasa serba kekurangan, banyak dosa, alpa dan lalai dengan dunia yang sementara. Belajar untuk yakin dengan Allah, dan janji-janji Allah SWT serta rasul Nya. Subhanallah……..

Sahabatku…. Mampukah kita berfikir dan bertindak seperti mereka. Tatkala kita nyenyak tidur di atas katil empuk di samping isteri dan anak-anak, ada segolongan manusia sedang mengisi malam-malam mereka dengan tahajud dan munajat memohon kesejahteraan, perlindungan dan keampunan Allah SWT untuk kita. Tatkala kita sedang berdiri di atas pentas-pentas ceramah atau juga duduk hadir dalam majlis-majlis ilmu di dalam masjid kita, ada segolongan manusia ini sedang mendatangi saudara-saudara seagama yang telah jauh dari agama dan amal agama. Mungkin mereka sedang mendatangi seorang penjenayah, penagih dadah atau mungkin juga anak-anak muda yang duduk di simpang-simpang jalan kampung kita yang tidak menghiraukan masa untuk solat. Kekuatan yang ada pada mereka tidak ada dalam diri kita. Merekalah manusia yang Allah telah pilih untuk menyampaikan risalah agama Nya setelah ketiadaan Nabi SAW.

Merekalah jemaah yang menerima paling banyak gelaran. Ada memberi gelar orang dakwah, jemaah sesat, jemaah kompor (dapur minyak), jemaah pindah randah dan berbagai lagi. Tapi mereka lebih dikenal dengan nama jemaah tabligh. Satu gerakan yang tidak pernah mengajak kita untuk masuk menjadi ahli sebaliknya kita diajak untuk ‘keluar’ membuat kerja.

Apa pun jua, siapalah kita untuk menghakimi mereka. Fenomena ini menjadi lebih kuat samada kita suka atau tidak. Samada kita turut serta atau tidak, mereka masih bergerak dari satu kampung ke satu kampung. Dari sebuah bandar ke sebuah bandar. Juga dari sebuah negara ke sebuah negara dan dari sebuah benua ke sebuah benua yang lain. Mereka tidak memerlukan kita pun untuk memberi sumbangan atau sokongan kepada mereka.

Sahabatku, cukuplah sekadar kita memahami usaha mereka……… Kita insan-insan lemah yang sudah merasa cukup dengan solat, zakat, puasa dan haji untuk kita jadikan modal mendapatkan syurga Allah SWT. Biarkanlah mereka……….

Sekian dulu.

Wasalam

assalammualaikum...

assalammualaikum...