Thursday, July 22, 2010

KEMESRAAN MUAWIYYAH R.A SERTA KERABAT DENGAN AHLUL BAYT

Di antara tuduhan yang dilontarkan oleh kaum Syiah serta golongan yang sealiran dengannya kepada Sayyidina Muawiyah r.a ialah kononnya beliau telah melayani Bani Hasyim terutamanya di kalangan Ahlul Bait dengan buruk dan telah bertindak kejam terhadap mereka, selain daripada tidak pernah terjalinnya perhubungan yang baik di antara mereka dengan Muawiyah dan seterusnya khulafa’ daripada kalangan Bani Umaiyyah.

Alasan yang selalu dikemukakan ialah berpunca daripada gambar sejarah yang sememangnya bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan. Sebenarnya kita tidak hairan dengan riwayat sejarah yang memuatkan cerita-cerita seumpama itu apabila kita memeriksa perawi-perawi (pewarta-pewarta) yang merupakan sumber cerita-cerita itu.

Begitupun jika kita meneliti dengan cermat dan saksama terhadap fakta-fakta yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah samada ditinjau dari sudut riwayat mahupun dirayah dengan cepat akan teserlah di hadapan kita kepalsuan tuduhan-tuduhan itu. Kenyataan yang dapat disimpulkan daripada fakta-fakta sejarah itu amat bertentangan sekali dengan tuduhan yang terdapat di dalamnya. Ini ialah kerana tak mungkin boleh terjalinnya hubungan persemendaan sebagai menantu, besan, biras dan lain-lain di antara dua keluarga yang bermusuhan begitu sekali seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab sejarah. Tidak mungkin juga orang-orang yang bermaruah seperti individu-individu daripada kalangan Ahlul Bait terutama Hasan dan Husain r.a boleh menerima hadiah-hadiah saguhati, cenderamata atau habuan daripada orang yang zalim dan kejam yang sentiasa merendahkan kehormatan mereka.

Begitu juga tidak masuk akal jika orang-orang yang terhormat dan mulia seperti Sayyyidina Hasan dan Husain r.a boleh berulang alik ke istana Muawiyah yang dikatakan sebagai penipu dan jahat itu kemudian pulang dengan membawa hadiah-hadiah yang nilainya beratus-ratus ribu dirham, kecuali jika diterima bahawa Sayyidina Hasan dan Husin dan juga Ahlul Bait yang lain sebagai orang-orang yang gila dunia atau mata duitan.

Bagaimana mungkin kejam dan zalimnya orang yang Sayyidina Hasan dan Husain turut serta di dalam jihad yang dilancarkannya di samping menyandang pula jawatan-jawatan istimewa dalam kerajaan pimpinannya.

Di sini akan dikemukakan beberapa contoh dari fakta sejarah untuk menghapuskan segala tuduhan-tuduhan palsu itu:

1) Hubungan baik di antara Sayyidina Muawiyah dan Ahlul Bait terutama Sayyidina Hasan dan Husain r.a.

Ibnu Katsir menulis, “Pada zaman pemerintahannya, Sayyidina Muawiyah melayan Sayyidina Hasan dan Husin dengan penuh mesra dan menghadiahkan kepada mereka hadiah-hadiah yang berharga. Pernah pada suatu hari beliau menghadiahkan wang sebanyak dua ratus ribu dirham kepada mereka berdua” (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8 m.s. 50).

Ibnu Abil Hadid menulis, “Muawiyah memberikan habuan terutama kepada Hasan dan Husain sebanyak seratus ribu dirham. Anaknya Yazid pula memberikan habuan tahunan kepada merka berdua sebanyak dua ratus ribu dirham. Sebanyak itu juga diberinya kepada Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Ja’afar (ipar Sayyidina Husain iaitu suami kepada Zainab, adiknya)” (Syarah Nahjul Balaghah).

Selain daripada habuan tahunan sebanyak seratus ribu dirham itu, Sayyidina Husain dikirimkan bermacam-macam cenderamata dan hadiah-hadiah berharga oleh Muawiyah dan Sayyidina Husain menerimanya dengan gembira sekali.

Sayyidina Husain berkunjung ke kediaman Muawiyah seorang diri dan kadang-kadang bersama abangnya Hasan pada tiap-tiap tahun dan Sayyidina Muawiyah melayani mereka dengan baik dan penuh penghormatan. Beliau memberikan kepada mereka bermacam-macam hadiah. Selepas kewafatan Hasan, Sayyidina Husain tetap berkunjung ke kediaman Muawiyah pada tiap-tiap tahun. Beliau dilayani dengan baik dan penuh penghormatan oleh Muawiyah. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 150-151)

Pernah pada sutu ketika Sayyidina Hasan telah dihadiahkan oleh Muawiyah wang sebanyak empat juta dan pada ketika yang lain pula Sayyidina Hasan dan Husain telah dihadiahkan dua juta dirham. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 137).
Pernah Sayyidina ‘Aqil (abang Sayyidina Ali r.a) memerlukan empat puluh ribu dirham maka beliau pergi menemui Muawiyah dan menyatakan keperluan itu kepadanya. Muawiyah bermurah hati kepadanya dan terus memberikan wang sebanyak lima puluh ribu dirham. (Usdul Ghabah, jilid 3, m.s. 223).

Sayyidatina Aisyah r.a pernah dikirimkan oleh Muaiwiyah wang sebanyak seratus ribu dirham dan sebaik sahaja Aisyah menerimanya dia terus membahagi-bahagikannya kepada orang-orang lain (yang memerlukannya) pada hari itu juga. Pada suatu ketika pernah Sayyidatina Aisyah berhutang sebanyak 18 ribu dinar (Muawiyah mendapat tahu tentang itu ) maka beliau pun menjelaskan kesemua hutang Aisyah itu. Pernah juga Muawiyah mengirimkan seutas kalung yang berharga seratus ribu dirham kepada Aisyah. Kiriman itu diterima oleh Aisyah dengan gembira sekali.

Pernah Sayyidina Hussain dan Abdullah Bin Ja’far At Thayyar menghantar utusannya kepada Muawiyah untuk meminta bantuan kewangan daripada beliau, maka wang sebanyak sejuta dirham dikirimkan kepada mereka. Pada ketika yang lain pula Muawiyah mengirimkan wang kepada Sayyidina Hassan, Abdullah Bin Ja’far At Thayyar, Abdullah Bin Umar dan Abdullah Bin Zubair sebanyak seratus ribu dirham.

Setelah mendapat tahu tentang kewafatan Sayyidina Hassan, Muawiyah pergi menemui Abdullah bin Abbas untuk mengucapkan takziah kepadanya. Muawiyah berkata kepada Abdullah Bin Abbas, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkann hatimu atas kematian Hassan ini”. Ibnu Abbas lantas menyahut, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkan hatimu selama Allah memanjangkan umurmu”. (Al Bidayah Wa An Nihayah,jilid 8 m.s. 136 – 138.)

2) Menyandang jawatan istimewa di dalam kerajaan Muawiyah.

Di antara individu dari Bani Hasyim ada yang menyandang jawatan istimewa (seperti qadhi dan lain-lain) didalam pemerintahan Muawiyah. Di Madinah, Marwan Bin Al Hakam adalah gabenor yang dilantik oleh Muawiyah. Ketika itu perlu adanya seorang qadhi (hakim) di Madinah. Oleh itu, Marwan telah melantik Abdullah Bin Al Harith Bin Naufal Bin Al Harith Bin Abdul Muttalib sebagai qadhi di Madinah. Lantaran itu sesetengah golongan mengatakan itulah qadhi yang mula-mula dilantik di Madinah.

Ibnu Sa’ad menulis di dalam Thobaqatnya: daripada Abi Al Ghaits, katanya: “Aku mendengar Abu Hurairah berkata”, “Setelah Marwan Al Hakam dilantik sebagai gabenor bagi pihak Muawiyah di Madinah iaitu pada tahun 42 Hijrah, beliau telah melantik Abdullah bin Al Harith sebagai qadhi di Madinah. Abu Hurairah berkata, “Itulah qadhi yang mula-mula aku lihat dalam Islam (di Madinah)”. Thobaqat Ibnu Sa’ad jilid 5 m.s. 13). Kenyatan yang sama di dalam Tarikh At Thobari, jilid 6 m.s. 12 di bawah tajuk peristiwa yang berlaku pada tahun 42 Hijrah.

3) Qustam Bin Abbas r.a dan Sayyidina Hassan r.a ikut serta di dalam jihad yang dilancarkan oleh Muwiyah di zaman pemerintahannya.

Qustam Bin Abbas terbilang di antara sahabat kecil Rasullullah SAW. Beliau adalah saudara sesusu dengan Sayyidina Husin Bin Ali. Beliau telah pergi ke Khurasan di zaman pemerintahan Muawiyah untuk tujuan jihad. Kemudian beliau pergi pula ke Samarkand. Panglima perang yang beliau ikuti di dalam peperangan itu ialah Said Bin Uthman Bin Affan. Akhirnya beliau telah mendapat syuhada (syahid) dalam peperangan di Samarkand.

Demikian tersebut didalam Thobaqot Ibnu Sa’ad, jilid 7, m.s. 101, Nasabu quraisyin, m.s. 27, Tahtazikri Auladi Abbas, Siaru ‘Alami An Nubala’, jilid 3 m.s. 292, Syarah Nahjul Balaghah Ibnu Abil Hadid, jilid 5, m.s. 72.
Ahli-ahli sejarah menyebutkan dengan jelas bahawa Sayyidina Hussin juga turut serta di dalam jihad yang dilancarkan di zaman pemerintahan Muawiyah. Beliau menyertai jihad itu dengan suka cita dan relahati, bukan dengan paksaan malah telah memberikan pertolongan yang sepenuhnya dalam jihad itu.

Ibn Katsir menulis, “Setelah Sayyidina Hassan wafat, Sayyidina Husain pada tiap-tiap tahun tetap mengunjungi Muawiyah. Beliau dikurniakan dengan hadiah-hadiah dan dimuliakan oleh Muawiyah. Beliau pernah menyertai angkatan tentera yang menyerang Constantinople di bawah pimpinan anak Muawiyah iaitu Yazid pada tahun 51 H”. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 8, m.s. 151). Perkara yang sama termaktub di dalam Tahzibu Tarikhi Ibni Asakir, jilid 4, m.s. 311, Tazkirah Husain bin Ali.

4) Hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim

Hubungan persemendaan di antara Bani Hasyim dan Bani Ummaiyah terjalin semenjak sebelum Islam lagi dan berterusan hingga ke zaman-zaman pemerintahan Bani Umayyah. Daripada kenyataan-kenyataan sejarah dapat dilihat betapa mesra dan eratnya hubungan di antara mereka.

Permusuhan dan perseteruan di antara mereka tidak lebih daripada cerita-cerita rekaan yang dicipta oleh golongan musuh-musuh Islam dengan tujuan membuktikan kepada dunia bahawa semangat perkauman jahiliyah masih lagi menguasai mereka dan begitu tebal sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sendiri masih gagal mencabut sampai ke akar umbinya.

Sebaliknya daripada fakta-fakta sejarah yang masih lagi boleh dirujuk dan dianggap muktabar samada daripada kalangan Ahli Sunnah mahupun musuh mereka Syiah, dapat kita temui kenyataan-kenyataan yang menyangkal dan mendustakan cerita-cerita rekaan itu.

Tidak mungkin terjadi hubungan persemendaan di antara dua golongan yang bermusuhan dengan begitu banyak sekali dalam keadaan perseteruan di antara mereka sampai menumpahkan darah dan memaki hamun di antara satu sama lain di dalam khutbah-khutbah Jumaat .

Rasulullah SAW sendiri sebagai orang yang paling terkemuka daripada Bani Hasyim telah mengahwinkan tiga orang daripada empat orang anak perempuannya dengan Abul ‘Ash bin Ar-Rabii dan Uthman bin Affan, iaitu dua orang yang ternama dari kalangan Bani Umayyah. (lihat Ansabul Asraaf-Balezuri,jilid 5, ms 1,Thobaqotul Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 166, Usdul Al-Ghabah, jilid 5, ms 191, Al-Mustadrak, jilid 3, ms 96, Mumtahar Al Amal, jilid 1 m.s. 9).

Aban, anak Sayyidina Uthman kemudiannya berkahwin dengan Ummi Kulthum bt Abdullah bin Ja’far, cucu saudara Sayyidina Ali sendiri. (Al-Ma’arif Ad-Dinawari, m.s. 86).

Sakinah, anak perempuan Sayyidina Husain dan cucu kepada Sayyidina Ali adalah isteri kepada cucu Uthman iaitu Zaid bin Amar bin Uthman. Bahkan beliau telah mewarisi Zaid selepas kematiannya. (Nasabu Quraisyin Mus’ab Az- Zubairi, jilid 4, ms 120, Al-Ma’arif-Ibn Qutaibah, m.s. 94, Jamharatu Ansabil Arab,jilid 1, m.s. 86, Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 6, m.s. 349).

Cucu Sayyidina Ali iaitu Fatimah anak perempuan Sayyidina Husain merupakan isteri kepada cucu Sayyidina Uthman yang lain bernama Abdullah dan mereka mendapat cahaya mata bernama Muhammad hasil dari perkahwinan itu. Perkahwinan di antara mereka berdua berlangsung setelah Fatimah menjadi janda kepada Hassan bin Hassan bin Ali. (Lihat Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 348, Al-Ma’arif, ms 93, Nasabu Quraisyin, jilid 4, ms 114, Maqaatilu At-Tholibiyyin Al-Isfahani, m.s. 203, Nasikuh At Tawarikh, jilid 6, m.s. 534).

Kemudian cucu Sayyidina Hassan iaitu anak Sayyidina Hassan Al-Mutsanna berkahwin pula dengan cucu Marwan bin Aban bin Uthman. Bahkan ahli-ahli sejarah menyebutkan bahawa anak Hassan Al-Mutsanna yang dikenali dengan Ummul Qasim ini telah mendapat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Marwan tersebut, iaitu Muhammad. (Nasabu Quraisyin, jilid 2, m.s. 53, Jamharatu Ansabil Arab, jilid 1, m.s. 85, Al-Muhabbar Al-Baghdadi, m.s. 438).

Cucu saudara Sayyidina Ali iaitu Ramlah bt Muhammad bin Ja’far At-Thoyyar bin Abi Thalib mula-mula menjadi isteri kepada Sulaiman bin Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan. Kemudian menjadi pula isteri kepada Abul Qasim bin Wahid bin Uthbah bin Abi Sufian (Kitabu Al-Muhabbar, ms 449).

Ramlah anak perempuan Sayyidina Ali sendiri telah berkahwin dengan anak Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah. Sebelum itu Ramlah adalah isteri kepada Abi Al-Hayyaj (Nasabu Quraisyin, ms 45, Jamharatu Ansabil Arab, m.s. 87).

Sementara Zainab anak perempuan Hasan Al-Mutsanna pula menjadi isteri kepada Walid bin Abdul Malik bin Marwan Al-Umawi. (Nasabu Quraisyin, ms 52, Jamharatu Ansabil Arab, m.s. 228.

Selain daripada cicit kepada Sayyidina Ali, Hafisah bt Zaid bin Al-Hasan bin Ali adalah isteri kepada cucu Marwan iaitu Al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan dan wafat sebagai isterinya. Ibunya ialah Lubabah bt Abdullah bin Abbas. (Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, ms 234, ‘ Umdatu At-Thalib fi ansabi’ah Abi Thalib, m.s. 70).

Hasil perkahwinan Sayyidina Husain dengan Laila bt Abi Muruah bin ‘Urwah bin Mas’ud At-Tsaqafi telah melahirkan Ali yang dikenali dengan Al-Ahbar yang kemudiannya terbunuh syahid bersama beliau di Karbala. Ibu kepada Laila ini ialah Maimunah bt Abu Sufian bin Harb bin Umayyah. Ini bererti Sayyidina Muawiyah adalah bapa saudara kepada Laila, iaitu isteri kepada Sayyidina Husain itu. (Nasabu Quraisyin, ms 57, Tarikh Khalifah bin Khayyat, jilid 1, m.s. 255).

Apa yang disebut ini adalah sebahagian daripada hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Itu pun sudah mencukupi untuk menolak kekeliruan yang telah ditimbulkan. Cerita-cerita yang direka oleh musuh-musuh Islam ini mengatakan bahawa di antara dua keluarga ini telah tertanam permusuhan dan dendam kesumat yang amat mendalam sehingga akhirnya mencetuskan peperangan di antara Ali dan Muawiyah, Husain, Yazid dan seterusnya. Tetapi apabila kita melihat kepada hubungan persemendaan di antara mereka seperti yang tersebut tadi, jelaslah bahawa cerita-cerita yang memburukkan perhubungan mereka itu tidak berasas sama sekali.


5) Ahlil Bait berimamkan pemimipin-pemimpin dari kalangan Bani Umayyah di dalam sembahyang mereka.

Semasa Marwan bin Al-Hakam menjadi gabenor bagi pihak Muawiyah, beliau mengimamkan sembahyang lima waktu di masjid. Di antara ahli jamaah yang berimamkan beliau ialah Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain.

Fakta ini dapat dilihat dengan jelas di dalam riwayat seperti di bawah ini bahkan daripada riwayat ini dapat difahami bahawa Sayyidina Hasan dan Husain tidak mengulangi sembahyang yang telah ditunaikan secara berjamaah di masjid dengan berimamkan Marwan bin Al-Hakam. Muhammad Al-Baqir juga telah bersumpah bahawa mereka berdua tidak mengulangi sembahyang yang ditunaikan secara berjamaah itu sebagai menyangkal dakwaan setengah-setengah kalangan Syiah yang mengatakan mereka berjamaah dengan Marwan secara taqiyyah, kemudian mengulangi sembahyang yang telah dikerjakan itu di rumah pula.

Perhatikan riwayat ini :

Diriwayatkan daripada Ja’far As-Syadiq daripada ayahnya, katanya, “Hasan bin Ali dan Husain selalu bersembahyang di belakang Marwan.”. Ja’far berkata, “Kerana itu ayahnya ditanya: “Tidakkah mereka bersembahyang semula setelah pulang ke rumah?”. Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak melebihkan sembahyang daripada sembahyang yang telah dilakukan dengan berimamkan para pemimpin itu”. (Al-Musannaf Ibn Abi Syaibah, jilid 2, m.s. 378, Al-Bidayah Wa An-Nihayah, jilid 8, m.s .258).

Imam Bukhari di dalam Tarikh Soghirnya mengemukakan riwayat tentang selalunya Sayyidina Hasan dan Husain bersembahyang di belakang Marwan dengan berimamkannya. (At-Tarikh As-Soghir, m.s. 57).

Ibn Sa’ad pula mengemukakan pengakuan Imam Muhammad Al-Baqir tentang beliau dan ayahnya, Ali Zainal Abidin sentiasa bersembahyang dengan berimamkan pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah. Beliau berkata, “Sesungguhnya kami bersembahyang dengan berimamkan mereka tanpa taqiyyah dan aku bersaksi bahawa Ali bin Husain (ayahnya) selalu bersembahyang berimamkan mereka tanpa taqiyyah’. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 158).

Kitab-kitab Syi’ah pula menjadi saksi di dalam perkara ini. Di antaranya ialah kitab Biharu Al-Anwar apabila ia mengemukakan riwayat-riwayat yang seerti dengan yang dikemukakan oleh kitab-kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara lain riwayat itu bermaksud : Daripada Musa bin Jaafar daripada ayahnya, katanya : “Hasan dan Husain selalu bersembahyang di belakang dengan berimamkan Marwan bin Al Hakam. Maka mereka (Syiah) bertanya beliau, “Adakah datuk dan nenek tuan bersembahyang semula apabila pulang ke rumah?” Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak menambah lagi sembahyang yang telah dikerjakan”. (Biharu Al Anwar, Al Majlisi, jilid 10, m.s .139-141).

Selain daripada sembahyang fardhu yang lima itu, pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah juga mengimamkan sembahyang jenazah daripada kalangan Ahlul Bait yang telah meninggal dunia. Perkara ini tersebut dengan jelas di dalam kitab-kitab sejarah, antaranya ialah Al-Bidayah Wa An Nihayah, Al Isti’aab, Al Isabah dan Thabaqat Ibn Sa’ad.

Sejarah membuktikan bahawa Aban bin Uthman ketika menjadi gabenor di Madinah bagi pihak Abdul Malik bin Marwan pernah diminta menyembahyangkan jenazah Muhammad bin Ali yang terkenal dengan Muhammad bin Al Hanafiah oleh anaknya sendiri iaitu Abu Hasyim Ali. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 86). Selain itu beliau juga pernah menyembahyangkan jenazah anak saudara Sayyidina Ali, iaitu Abdullah bin Jaafar At Thoyar. (Al Isobah, jilid 2, m.s. 281, Al Isti’aab, jilid 2, m.s. 287 dan Usdu Al Ghobah, jilid 3, m.s. 135)

Penerimaan baik pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah oleh pihak Bani Hasyim bukanlah suatu yang baru ketika itu kerana sebelum itu pun ayahanda kepada Aban iaitu Sayyidina Uthman bin Affan telah mengimamkan sembahyang jenazah bapa saudara Rasulullah SAW dan juga bapa saudara kepada Sayyidina Ali iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 2, ms 162, Al Isti’aab, jilid 3, ms 100).

Itulah sedikit daripada gambaran hubungan baik di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Mereka sebenarnya merupakan dahan-dahan dan ranting-ranting daripada pohon yang sama. Mereka telah bekerjasama dan berganding bahu dalam menegakkan dan menyebarkan Islam. Jikalau ada pun permusuhan di antara mereka , itu adalah permusuhan di zaman jahiliyyah tetapi setelah kedatangan Islam, api permusuhan yang bernyala-nyala di zaman jahiliyyah itu terpadam oleh limpahan cahaya Islam yang mencurah-curah yang turun dari Tuhan Semesta Alam.

sumber dipetik : http://jejakitinggalanrasul.blogspot.com/2010/07/muawiyyah-sangat-mesra-dengan-ahlul.html

Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain Di Karbala

Seorang tokoh Islam yang terkenal di Pakistan, Maulana Ali Ahmad Abbasi menulis di dalam bukunya "Hazrat Mu'aawiah Ki Siasi Zindagi" bahawa di dalam sejarah Islam, ada dua orang yang sungguh kontroversial. Seorang daripadanya Amirul Mukminin Yazid yang makin lama makin dimusnahkan imejnya walaupun semasa hayatnya beliau diterima baik oleh tokoh-tokoh utama di zaman itu. Seorang lagi ialah Mansor Al Hallaj. Di zamannya dia telah dihukum sebagai mulhid, zindiq dan salah seorang daripada golongan qaramithah oleh masyarakat Islam yang membawanya disalib. Amirul Mukminin Al Muqtadir billah telah menghukumkan beliau murtad berdasarkan fatwa sekalian ulama dan fuqaha' yang hidup pada waktu itu, tetapi imejnya semakin cerah tahun demi tahun sehingga akhirnya telah dianggap sebagai salah seorang ' aulia illah'.

Bagaimanapun semua ini adalah permainan khayalan dan fantasi manusia yang jauh daripada berpijak di bumi yang nyata. Semua ini adalah akibat daripada tidak menghargai dan memberikan penilaian yang sewajarnya kepada pendapat orang-orang pada zaman mereka masing-masing.

Pendapat tokoh-tokoh dari kalangan sabahat dan tabi'in yang sezaman dengan Yazid berdasarkan riwayat-riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam "Ansabu Al Asyraf" mengatakan bahawa, " Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : " Sesungguhnya anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah kamu berada di tempat-tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan bai'ah kamu kepadanya" (Ansabu Al Asyraf, jilid 4, m.s. 4).

Sejarawan Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa' Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata-kata Ibnu Abbas ini di hadapan mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid ' Amirul Mukminin'.

Abdullah Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa itu pula bersikap tegas terhadap orang-orang yang menyokong pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk Madinah membatalkan bai'ah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, " Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, " Akan dipacakkan bendera untuk setiap orang yang curang (membatalkan bai'ahnya) pada hari kiamat. Sesungguhnya kita telah berbai'ah kepadanya dengan nama Allah dan RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar daripada kita berbai'ah kepada seseorang dengan nama Allah dan RasulNya, kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada sesiapa daripada kamu membatalkan bai'ah kepadanya dan turut serta di dalam pemberontakan ini, maka terputuslah perhubungan di antaraku dengannya". (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)

Sebenarnya jika dikaji sejarah permulaan Islam kita dapati pembunuhan Sayyidina Husain di zaman pemerintahan Yazidlah yang merupakan fakta terpenting mendorong segala fitnah dan keaiban yang dikaitkan dengan Yazid tidak mudah ditolak oleh generasi kemudian. Hakikat inilah yang mendorong lebih banyak cerita-cerita palsu tentang Yazid diada-adakan oleh musuh-musuh Islam. Tentu sekali orang yang membunuh menantu Rasulullah s.a.w yang tersayang-dibelai oleh Rasulullah dengan penuh kasih sayang semasa hayatnya kemudian ditatang pula dengan menyebutkan kelebihan dan keutamaan-keutamaannya di dalam hadis-hadits Baginda- tidak akan dipandang sebagai seorang yang berperi kemanusiaan apalagi untuk mengatakannya seorang soleh, budiman, bertaqwa dan pemimpin umat Islam.

Kerana itulah cerita-cerita seperti Yazid sering kali minum arak, seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan penari-penari, begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan kera, terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian.

Tetapi soalnya, benarkah Yazid membunuh Sayyidina Husain? Atau benarkah Yazid memerintahkan supaya Sayyidina Husain dibunuh di Karbala?



Selagi tidak dapat ditentukan siapakah pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya dan terus diucapkan ' Yazidlah pembunuhnya' tanpa soal selidik yang mendalam dan teliti, maka selama itulah nama Yazid akan terus tercemar dan dia akan dipandang sebagai manusia yang paling malang. Tetapi bagaimana jika yang membunuh Sayyidina Husain itu bukan Yazid ? Kemanakah pula akan kita bawakan segala tuduhan-tuduhan liar, fitnah dan caci maki yang selama ini telah kita sandarkan pada Yazid itu ?

Jika kita seorang yang cintakan keadilan, berlapang dada, sudah tentu kita akan berusaha untuk membincangkan segala keburukan yang dihubungkan kepada Yazid selama ini dan kita pindahkannya ke halaman rumah pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain yang sebenar. Apalagi jika kita seorang Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sudah tentu dengan dengan adanya bukti-bukti yang kuat dan kukuh daripada sumber-sumber rujukan muktabar dan berdasarkan prinsip-prinsip aqidah yang diterima di kalangan Ahlus Sunnah, kita akan terdorong untuk membersihkan Yazid daripada segala tuduhan dan meletakkannya ditempat yang istimewa dan selayak dengannya di dalam rentetan sejarah awal Islam.

Sekarang marilah kita pergi ke tengah-tengah medan penyelidikan tentang pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala bersama-sama dengan sekian ramai ahli keluarganya.



PEMBUNUH SAYYIDINA HUSAIN ADALAH SYIAH KUFAH

Terlebih dahulu kita akan menyatakan dakwaan kita secara terus terang dan terbuka bahawa pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya bukanlah Yazid tetapi adalah golongan Syiah Kufah.

Dakwaan ini berdasarkan beberapa fakta dan bukti-bukti daripada sumber-sumber rujukan sejarah yang muktabar. Kita akan membahagi-bahagikan bukti-bukti yang akan dikemukakan nanti kepada dua bahagian :

(1) Bukti-bukti utama

(2) Bukti-bukti sokongan



I. BUKTI-BUKTI UTAMA

Dengan adanya bukti-bukti utama ini, tiada mahkamah yang dibangunkan untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan akan memutuskan Yazid sebagai pesalah dan sebagai penjenayah yang bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain. Bahkan Yazid akan dilepaskan dengan penuh penghormatan dan akan terbongkarlah rahsia yang selama ini menutupi pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya di Karbala.

Bukti pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang membunuh Sayyidina Husain. Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan "At Tawwaabun" yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina Husain. Sebagai cara bertaubat, mereka telah berbunuh-bunuhan sesama mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi sebagai pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina.

Air mata darah yang dicurahkan oleh golongan "At Tawaabun" itu masih kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu-ribu cara.

Pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku mereka masing-masing. Baaqir Majlisi menulis :

"Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, " Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh "Ketua Pemuda Ahli Syurga" kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa-apa". (Jilaau Al'Uyun, m.s. 430)

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu Al'Mu'minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Sayyidina Husain terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, " Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita ". Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, " Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu ". (Al Baqarah :54). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran "At Tawaabun".

Sejarah tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rab'ie di dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab'ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina Husain. Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. (Jilaau Al'Uyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37)

Adakah masih ada orang yang ragu-ragu tentang Syiahnya Syits bin Rab'ie dan tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi, seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu.

Lihatlah pula kepada Qais bin Asy'ats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 192)

Selain daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi-saksi yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan oleh sejarah sebelum beliau terbunuh. Sayyidina Husain berkata dengan menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia bertempur dengan beliau :

" Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang kami ". (Jilaau Al' Uyun, ms 391).


assalammualaikum...

assalammualaikum...