Wednesday, September 8, 2010

Sejarah Mazhab Al-Maaturidiyah

Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asyari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.

Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.

Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.

Salafiah.

Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.

Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.

Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.

assalammualaikum...

assalammualaikum...