Thursday, September 23, 2010

Pengertian Bidaah Hasanah; Kupasan dari Mazhab Syafie

Antara ucapan (qaul) Imam al-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

ينقسم البدعة الى حسنة وسيئة، او محمودة ومذمومة. وعلى هذا تشتمل كل حادث بعد عصر الرسول الله صلى الله عليه وسلم وعصر. الخلفاء الراشدين.

Maksudnya:

Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik (hasanah) dan yang buruk (sayyi’ah) atau terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmumah). Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman Khulafa’ al-Rasyidin. [1]

عن حرملة بن يحي رحمه الله قال: سمعت الشافعي رحمه الله تعال يقول: البدعة بدعتان. بدعة محمودة و بدعة مذمومة. فما وافق السنة فهو محمود وما خالف السنة فهو مذموم.

Maksudnya:

Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata: Aku mendengar al-Syafie rahimahullah berkata: Bid’ah ada dua iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa yang bersesuaian dengan al-Sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan al-Sunnah maka itu tercela.[2]

وقال الربيع رحمه الله: قال الشافعي رحمه الله تعال: المحدثات من الامور ضربان: احدهما ما احدث يخالف كتابا او سنة او اجماعا او اثارا فهذه البدعة الضلالة. والثاني من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهي غير مذمومة.

Maksudnya:

Berkata ar-Rabi’ rahimahullah: Telah berkata al-Syafie rahimahullah: Perkara-perkara yang diada-adakan itu terbahagi kepada dua: Yang pertama, apa yang dicipta bertentangan dengan al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar, maka inilah bid’ah yang sesat. Kedua, apa yang dicipta berupa kebaikan yang tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar sahabat), maka itu ciptaan yang tidak tercela. [3]

Persoalan-persoalan (syubhat) yang timbul dari qaul Imam al-Syafie di atas telah dijelaskan oleh ulamak al-Salaf al-Shalih, antaranya Abdul Qayyum bin Muhammad Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah membincangkan dengan membawa keterangan berikut:

PERTAMA:

Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan dengan perkataan (sabda) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam walau siapa pun orangnya. Perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah hujah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi hujah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam[4] sedangkan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda tentang persoalan bid’ah:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

Maksudnya:

Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka.

Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anh berkata:

لَيْسَ اَحَد اِلاَّ وَيُؤْخَذُ مِنْ رَاْيِهِ وَيُتْرَكُ مَا خَلاَ النَّبِي صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya:

Tidak ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[5]

KEDUA:

Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam al-Syafie (membahagikan bid’ah kepada yang baik dan tercela) maka tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie ialah bid’ah dari segi bahasa bukan syar’i. Ini berdalilkan (kenyataan Imam al-Syafie) sesungguhnya setiap bid’ah dalam syarak (agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Imam al-Syafie sendiri mengaitkan bid’ah yang baik dengan apa yang tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana setiap bid’ah dalam syarak bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dan al-Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:[6]


Maksudnya:

Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.[7]

قال رسول الله صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya:

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang mengada-adakan (mencipta) yang baru dalam urusan (agama) ini yang bukan darinya maka ia tertolak. [8]

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya:

Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak.[9]

Apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie sebagai bid’ah yang mahmudah (baik/terpuji), misalnya pembukuan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia ada dasarnya dari syarak.[10]

Begitu juga dengan pembinaan madrasah kerana belajar itu wajib menurut syarak, pastinya pembelajaran yang sempurna dan selesai ialah madrasah. Semua yang berkaitan dengan dunia yang tidak memudaratkan adalah bid’ah keduniaan yang hasanah dan tidak bertentangan dengan syarak.

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa setiap bid’ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah bid’ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai bid’ah lantaran kurang memahami istilah bid’ah dari segi bahasa dan syarak. Adapun bid’ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara qath’i (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah dan jelas tiada dalilnya dari syarak.[11]

KETIGA:

Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam al-Syafie rahimahullah yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba’) kepada sunnah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan sangat benci kepada muqallid (orang yang bertaklid buta) dan orang yang menolak hadis Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang sesuatu perkara maka beliau menjawab:

Wahai orang yang bertanya! Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian aku tidak berkata dengannya? Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadis).

Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan pegangan Imam al-Syafie rahimahullah terhadap hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga melagakan pandangan beliau dengan hadis sahih[12] terutamanya hadis di bawah ini:

فَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya:

Sesungguhnya setiap yang bid’ah itu menyesatkan.

Yang paling tepat dan benar ialah perkataan Imam al-Syafie rahimahullah ini semestinya diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadis di atas bukan (dijadikan alasan) untuk menentang hadis tersebut, kerana apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie rahimahullah ialah bid’ah dari segi bahasa[13] (لغوي) sahaja bukan dari segi syarak atau dalam persoalan agama.

Imam al-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:

قال الشافعي رحمه الله تعالى: اذا وجد تم فى كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بها ودعواما قلته.

Maksudnya:

Berkata al-Syafie rahimahullah: Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan sunnah Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan. [14]

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي و ان لم تسمعوه مني.

Maksudnya:

Berkata al-Syafie rahimahullah: Setiap hadis daripada nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah mendengar dariku.

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل مسالة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند اهل النقل بخلاف ما قلت، فانا راجع عنها فى حياتي وبعد موتي.

Maksudnya:

Setiap masalah yang benar datangnya daripada Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam menurut ahli Naql sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali merujuk pada hadis itu selama hidupku atau setelah kematianku. [15]

عن الامام ابي حنيفة ومالك والشافعي واحمد انهم قالوا: لايحل لاحد ان يفتى بكلامنا او ياْخذ بقولنا ما لَم يعرف من اين اخذنا.

Maksudnya:

Dari Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil perkataan tersebut. [16]



[1] Lihat البدعة تحديدها ومو قف الا سلام منها ms. 160. Dr. Izzat Ali ‘Atiah. Darul Kitab al-Arabi, Lebnon.

[2] Lihat الباعث على انكار البدع والحوادث ms. 12. Abu Syamah asy-Syafie.

[3] Lihat الحاوي jld. 1, ms. 539 oleh Imam al-Suyuthi, Tahqiq oleh Muhammad Muhyidin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.

[4] Lihat:

1) اللمع فى الرد على محسني البدع ms. 36 Abdul Qayyum bin Muhammad bin Hashir as-Sahaibani.

2) منا قب الشافعي jld. 1, ms. 469.

3) الباعث على انكار البدع والحواد ث ms. 94. Syihabudin Abu Muhammad Abdul Rahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu Syamah.

[5] Lihat فتاو ائة المسلمين ms. 138 Mahmud Khatab as-Subki. Al-Istiqamah.

[6] Lihat اللمع فى رد على محسني البدع ms. 37. Abdul Qayyim bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.

[7] Surah al-Maidah: 5.

[8] Hadis riwayat Ahmad (no. 24840) dan al-Bukhari (no. 2499).

[9] Hadis riwayat al-Bukhari.

[10] Lihat: اللمع فى رد على محسني البدع ms. 38.

[11] Ibid.

[12] Ibid. ms. 39.

[13] Ibid. ms. 39.

[14] Lihat المجموع jld. 1, ms. 63.

[15] Lihat سير اعلام النبلاء jld. 10, ms. 34.

[16] Lihat:

1) الا حكام فى اصول الا حام jld. 1, ms. 145. Abu Ali bin Hazam al-Andulusi.

2) جامع بيان العم وفضله jld. 1, ms. 147. Abu ‘Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurthubi.

3) الفتاوى jld. 1, ms. 147.

1 comment:

  1. antum kena belajar dari alim ulama.bukan hanya belajar dari buku-buku terkjemahan.dan memahami sesuatu hanya dgn kefahaman antum yang tidak mempunyai asas dlam bidang agama samada dari segi usul fiqh,tafsir quran dan ilmu hadith..........

    ReplyDelete

assalammualaikum...

assalammualaikum...