Sunday, July 18, 2010

Muawiyah Jadi Mangsa Riwayat Sejarah


ANTARA yang diriwayatkan oleh Hisyam bin Muhammad ialah mengenai Muawiyah yang kecewa terhadap Qais bin Sad al-Ansari al-Khazraji sebenarnya, adalah seorang daripada sahabat Nabi. Bapanya juga seorang sahabat. Beberapa riwayat mengenainya ada di dalam Sahih al-Bukhari. Martabat Qais di sisi Nabi seperti kedudukan seorang pengawal di sisi seorang pemimpin. Qais adalah pemegang bendera Rasulullah dalam beberapa medan peperangan. Dia juga adalah gabenor Saidina Ali di Mesir. Beliau dianggap seorang bijak pandai Arab. (Rujuk: Ibn Hajar al-Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah jilid 5, ms 254, cetakan: Lubnan, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, al-Humsa, Tahdhib Siyar Alam al-Nubala jilid 1, ms 88, cetakan: Lubnan, Muassasah al-Risalah).

Menurut Hisyam, kononnya Qais enggan mengikutinya lalu Muawiyah mencipta dusta melalui surat palsu yang menggunakan nama Qais untuk membohongi rakyat Syam. Kata Hisham bin Muhammad: “Muawiyah mereka dusta sepucuk surat daripada Qais bin Sad dan membacanya kepada rakyat Syam”. Surat itu berbunyi: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, kepada pemimpin iaitu Muawiyah bin Abi Sufyan, daripada Qais bin Sad, kesejahteraan ke atas kamu. Untuk kamu semua, aku memuji Allah yang tidak ada yang disembah melainkan Dia. Apabila aku fikirkan maka aku dapati tidak patut bagiku untuk menyokong satu golongan yang membunuh imam (pemimpin) mereka yang Muslim, yang diharamkan darahnya, yang baik lagi bertakwa. Justeru, kita pohon keampunan kepada Allah di atas dosa kita. Kita juga pohon kepada Allah agar menyelamatkan agama kita. Ketahuilah, sesungguhnya aku menghulurkan kepada kamu semua perdamaian. Aku juga menyambut seruanmu untuk memerangi pembunuh Uthman, pemimpin hidayah yang dizalimi. Hantarkan bantuan kepadaku. Di atas sahutanku ini, harta benda dan tentera nescaya aku bersegera kepadamu. Sekian. (Rujukan: Al-Tabari, Op. cit, jilid 4, ms 553)

Hisham juga menyebut satu lagi riwayat yang menggambarkan betapa buruknya Muawiyah menerusi lidah Qais di dalam suratnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Daripada Qais bin Sad, kepada Muawiyah bin Abi Sufyan. Sesungguhnya tipu daya engkau terhadapku, tamak engkau untuk mendapatkanku dan usaha engkau menjatuhkan pendirianku adalah menghairankan. Apakah engkau cuba menawarkan kepadaku untuk keluar daripada ketaatan terhadap orang yang paling layak dalam pemerintahan, yang paling benar perkataannya, yang paling berada di atas jalan petunjuk, yang paling hampir hubungannya dengan Rasulullah saw? Lantas engkau menyuruh aku untuk berada di dalam ketaatan kepadamu iaitu ketaatan kepada manusia yang paling tidak layak di dalam urusan ini (pemerintahan), yang paling dusta perkataannya, yang paling sesat jalannya, yang paling jauh hubungannya dengan Allah dan Rasul-Nya, anak orang yang sesat lagi menyesatkan dan taghut di kalangan taghut iblis...? (rujukan: Ibid, jilid 4, ms 551).

Sebenarnya, ini adalah sedikit daripada riwayat yang begitu banyak menggambarkan betapa hodoh dan buruknya Muawiyah di sisi sebahagian besar riwayat sejarah. Inilah yang menyebabkan Munir al-Ghadban menyebut: “Aku tidak berpendapat bahawa ada suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah saw dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) yang diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan ra. Sesungguhnya, kebanyakan maklumat yang terlekat di pemikiran orang ramai telah diterima sebagai sesuatu yang tidak diragui lagi dan tidak boleh dipertikaikan. Maklumat itu tidak bersesuaian sama sekali dengan darjat yang sepatutnya bagi seorang sahabat Nabi. Gambaran Muawiyah pada pemikiran orang ramai ialah seorang yang menuntut kuasa, ahli politik yang cekap, seorang yang mencari kesempatan, dia tidak pernah menghiraukan apa pun dalam usahanya untuk sampai kepada kekuasaan dan seorang yang bertarung kerana inginkan kuasa serta bertindak membunuh berpuluh-puluh ribu orang lain, semata-mata untuk menjadi khalifah. Inilah gambarannya yang bertentangan dengan perasaan dan fitrah setiap Muslim, namun tiada ganti baginya kerana buku sejarah menyebut demikian. (Rujukan: Munir al-Ghadban, Muawiyah bin Abi Sufyan, ms 5 cetakan: Syria, Dar al-Qalam).

Penyataan Munir al-Ghadban begitu jelas menggambarkan betapa bertentangan antara sebahagian riwayat sejarah dengan watak yang sepatutnya digambarkan bagi seorang sahabat Nabi yang al-Quran dan al-Sunnah telah memuji mereka semua. Bahkan bagi diri Muawiyah sendiri ada riwayat yang menggambarkan kemuliaannya. Antaranya, doa Rasulullah saw untuk Muawiyah:

Di dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan daripada baginda Nabi saw sebuah hadis yang bermaksud: Kata Umair: “Telah menceritakan kepada kami Umm Haram, bahawa dia telah mendengar Nabi saw bersabda: “Tentera yang pertama di kalangan umatku yang berperang di laut wajiblah bagi mereka itu syurga”. Kata Umm Haram: “Wahai Rasulullah! Adakah aku di kalangan mereka?”. Jawab baginda: “Ya!”. Kemudian baginda bersabda lagi: “Tentera yang pertama di kalangan umatku yang memerangi bandar Qaisar (Caesarea) diampunkan dosa mereka”. Aku (Umma Haram) berkata: “Adakah aku di kalangan mereka, wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Tidak”. (Riwayat al-Bukhari, hadis ke-2924.)

Umm Haram binti Milhan adalah ibu saudara kepada Anas bin Malik. Beliau adalah isteri kepada Ubadah bin al-Samit. Hadis daripadanya ada di dalam semua kitab hadis kecuali Sunan al-Tirmidhi. Dia tersenarai di kalangan wanita ternama. Antara yang mengambil hadis daripadanya ialah Anas bin Malik. (Al-Humsa, Op.cit,jilid 1, ms 64)

Allah Yang Maha Mengetahui telah mentakdirkan bahawa peperangan umat Nabi saw yang pertama di laut ialah peperangan Cyprus, dan Umm Haram telah menyertainya dan panglima tentera Islam dalam peperangan itu ialah Muawiyah bin Abi Sufyan. Ia berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. Turut serta dalam peperangan itu ialah Abu Dhar, Abu Darda dan beberapa sahabat yang lain. Peperangan ini terjadi pada tahun 27 Hijrah. Muawiyah yang menjadi amir ketika itu, turun sendiri ke medan peperangan bersama isterinya. (rujukan: Ibn Hajar al-Asqalani, Al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah, jilid 8, ms 223). Dalam menjelaskan hadis di atas al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga menyebut di dalam kitabnya yang lain, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: “Di dalam hadis ini diberikan sifat kepujian kepada Muawiyah kerana dia adalah orang yang pertama berperang di laut dan sifat kepujian kepada anaknya Yazid kerana dia adalah orang yang pertama memerangi bandar Qaisar”. (Ibn Hajar al-Aqalani, Fath al-Bari, jilid 6, ms 201, cetakan: Lubnan, Dar al-Fikr).

Berpandukan hadis ini jelas kepada kita bahawa fadilat atau kelebihan Muawiyah termaktub di dalam Sahih al-Bukhari bahkan kelebihan anaknya Yazid yang menjadi bahan atau mangsa cercaan riwayat sejarah juga disebut di dalam hadis yang sahih ini. Berdasarkan hadis di atas Nabi saw menjamin untuk Muawiyah syurga. Manakala riwayat sejarah yang dipetik tadi pula menyifatkannya sebagai daripada kalangan pengikut iblis. Manakah sumber yang patut dipercayai?

Persoalannya, layakkah Muawiyah yang pernah menjadi seorang penulis wahyu baginda Nabi saw melakukan pembohongan dengan tangan yang pernah menulis wahyu di hadapan baginda? Kata Abu Sufyan kepada Nabi saw (maksudnya):.... dan Muawiyah engkau jadikan dia penulis di hadapanmu”. Sabda baginda: “Ya”. (Riwayat Muslim hadis ke-2501). Dengan jelas kita dapat melihat betapa berlaku pertentangan watak bagi sahsiah atau peribadi yang sama apabila riwayat sejarah dibandingkan dengan sumber yang dipercayai di dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Contoh lain yang lebih dahsyat lagi ialah riwayat yang dibawa oleh tokoh Syiah yang sangat buruk, Abu Mikhnaf di dalam Tarikh al-Tabari berhubung peristiwa tahkim yang berlaku antara wakil Ali iaitu Abu Musa al-Asyari dengan wakil Muawiyah bin Abi Sufyan iaitu Amr bin al-As.

No comments:

Post a Comment

assalammualaikum...

assalammualaikum...