Mu’tah adalah sebuah tempat yang berada di hujung Al-Balqa’ di tanah Syam. Berlaku pada bulan Jamadilawal tahun ke-8 hijrah.
Sebab terjadinya peperangan ini, yakni pada waktu itu Rasulullah saw mengutus al-Harits bin Umair al-Azdi, salah seorang daripada bani Lihb dengan membawa sebuah surat ke Syam untuk Raja Rom. Lalu, Syarahbil bin Amru al-Ghassani menangkapnya dan mengikatnya dengan tali, kemudian menundukkannya, lalu memenggal kepalanya. Tidak seorangpun utusan Rasulullah saw yang terbunuh selain dia. Hingga hal tersebut tersangat mengganggu Baginda saw, ketika khabar kematian utusan baginda telah sampai. Baginda lalu mengutus sebuah pasukan besar, yang dipimpin oleh Zaid bin Haritsah, Baginda saw bersabda: “Apabila dia terbunuh, maka pimpinan diserah kepada Ja’far bin Abu Thalib. Jika Ja’far juga terbunuh, maka pimpinan diserahkan kepada Abdullah bin Rawahah.” (HR Bukhari 7/393 dari hadith Ibnu Umar, Ahmad 5/291,300,301 dari hadith Abu Qatadah).
Kaum Muslimin lalu bersiap sedia, mereka berjumlah 3000 tentera/pasukan. Ketika hari keluar telah tiba, kaum Muslimin mengucapkan selamat jalan kepada para pemimpin pilihan Rasulullah saw, dan mengucapkan selamat kepada mereka. Maka, menangis Abdullah bin Rawahah. Kemudian kaum Muslimin bertanya, “apakah menyebabkan engkau menangis?” Dia berkata, “Demi Allah, tidaklah aku mencintai dunia dan tidak juga bahagian yang tersisa dari kalian. Akan tetapi, aku mendengar Rasulullah saw membaca sebuah ayat daripada Kitabullah, dan menyebut perihal neraka:
“Sungguh tidaklah kalian kecuali akan melewatinya. Dan hal tersebut adalah sebuah kepastian dari Rabb kalian yang akan dipenuhinya.” (Maryam:71)
Maka aku tidak tahu bagimana aku akan keluar melewatinya.”
Lalu, mereka berangkat hingga tiba di Ma’aan. Dan sampai khabar kepada kaum Muslimin bahawa Heraklius telah berada di Bal’qa dengan memimpin 100,000 tentera Rom. Turut pula bergabung bersama pasukan mereka, kabilah Lakham, Judzam, Balqain, dan Bahraa’, serta Balay yang berjumlah 100,000 tentera. Ketika khabar itu sampai kepada kaum Muslimin, mereka menginap di Ma’aan dua malam untuk merundingkan perkara mereka. Mereka mengatakan, “kita harus menulis surat kepada Rasulullah saw dan mengabarkan jumlah musuh kita, apakah Baginda nantinya akan memberikan bantuan pasukan ataukah akan menyuruh kita dengan perintahnya, yang akan kita laksanakan.” Abdullah bin Rawahah lalu memberikan semangat kepada kaum Muslimin, beliau berkata: “wahai kaum! Demi Allah, sesungguhnya yang kalian benci yang telah menjadikan kalian keluar adalah yang kalian inginkan, iaitu syahid. Kita tidak memerangi mereka dengan jumlah, tidak pula dengan kekuatan, tidak pula dengan banyaknya tentera. Melainkan tidaklah kita memerangi mereka selain kerana agama ini yang mana Allah telah memuliakan kita dengannya. Maka bergeraklah, kerana sesungguhnya yang menanti adalah satu dari dua kebaikan, kemenangan atau mati syahid.”
Kaum Muslimin lalu bergerak maju hingga tiba di sempadan al-Balqaa’. Beberapa pasukan bertemu dengan mereka di desa bernama Masyaarif. Lalu musuh bergerak mendekat, dan kaum Muslimin merambat maju ke Mu’tah. Akhirnya kedua belah pihak bertemu di Mu’tah. Kaum Muslimin mengucar kacir kedudukan mereka kemudian berperang dengan sengit, dan bendera berada di tangan Zaid bin Haritsah. Dia bertarung dengan gagah berani hingga terbunuh dengan panahan musuh.
Lalu, bendera diambil alih oleh Ja’faar dan dia berperang dengan gigihnya sambil memegang bendera, hingga perang telah sangat membebaninya. Lalu dia mendekati kudanya dan mencederai kuda tersebut kemudian bertarung hingga terbunuh. Ja’faar adalah yang pertama kali mencederai kuda di dalam Islam pada waktu peperangan.
Tangan kanannya terputus, lalu bendera dipegang dengan tangan kirinya. Tangan kirinya pun terputus, maka dia mendekap bendera tersebut hingga terbunuh. Usia beliau pada waktu itu baru mencapai 33 tahun. Lalu bendera diambil alih oleh Abdullah bin Rawahah, dan beliau maju ke depan sambil berada di atas kudanya. Dirinya seakan-akan hendak melepaskan diri dan dalam keadaan bimbang, kemudia dia turun dan anak kepada pak ciknya datang menjumpainya membawa sekerat daging, lalu berkata “Tambahkanlah kekuatanmu dengan daging ini, kerana pada hari-hari ini engkau telah menjumpai apa yang telah engkau jumpai.”. lalu dia mengambil daging tersebut dari tangan pemuda tersebut lalu menggigitnya. Kemudia dia mendengar api yang menyala-nyala dari tengah kumpulan orang, lalu dia berkata, “Sementara engkau berada di dunia.” Lalu, dia melemparkan daging tersebut dari tangannya, kemudian mengambil pedangnya dan maju ke medan perang. Dia berperang sehingga akhirnya dia terbunuh. Bendera lalu diambil alih oleh Tsabit bin Arqam, saudara bani Ajlan. Dia berkata, “wahai segenap kaum Muslimin! Pilihlah salah seorang dari kalian”. Mereka menjawab, “engkau!” dia berkata, “aku tidak akan melakukannya.” Maka kaum Muslimin memilih Khalid bin Al-Walid. Ketika dia mengambil alih bendera, lalu dia mengasak musuh dan menggiring mereka ke dalam perangkap. Kemudian dia menarik mundur kaum Muslimin dan berbalik dengan mereka.
Ibnu Sa’ad menyebutkan bahawa kaum Muslimin menderita kekalahan, sedangkan yang terdapat di dalam sahih Bukhari bahawa kekalahan dideritai oleh pasukan Rom. (HR Bukhari 7/394 di dalam al-Maghazi, bab Ghazwah Mu’tah)
Pendapat yang sahih adalah yang disebutkan oleh Ibnu Ishaq, bahawa masing-masing pihak menarik mundur pasukannya menjauhi lawannya. (Lihat Ibnu Hisyam 2/373,389, Ibnu Saad 2/128, Ath-Thabari 3/107, Ibnu Sayyidin-Nass 2/153, Ibnu Kathir 3/455, 493, Syarah al-Mawahib 2/267, 277,dan Majma’ Az-Zawaa’id 6/156.160)
Allah menyingkap kejadian mereka pada hari itu kepada Rasulullah. Baginda saw mengabarkan kepada para sahabat baginda, dan bersabda: “Mereka telah terangkat ke Syurga, sebagaimana telah terlihat dalam mimpi seseorang yang tidur. Mereka berada di atas pembaringan yang terbuat dari emas. Lalu aku melihat peraduan Abdullah bin Rawahah lebih miring daripada peraduan kedua rakannya. Maka aku bertanya, “mengapakah ini?” Dijawab kepadaku, ‘keduanya telah berangkat, sementara Abdullah dalam keadaan bimbang lalu turut menyusul.” (HR Ibnu Hisyam 2/380 dari jalan Ibnu Ishaq secara balaghah (terputus sanadnya dari kitab hingga ke Nabi saw)
Rasulullah saw bersabda tentang Ja’faar: “ sesungguhnya Allah menggantikan kedua tangannya dengan dua sayap yang dipergunakannya untuk terbang di syurga kemana sahaja dia kehendaki.” (Disebutkan oleh Al-Haitsami di dalam al-Majma’ 9/272-273 dari hadith Ibnu Abbas. Dia berkata, “Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dengan dua sanad periwayatan dan salah satunya hasan. dan dalam bab ini, diriwayatkan dari hadith Abu Al-Yusr oleh Ath-Thabrani, sebagaiman disebutkan di dalam al-Majma’ 6/160, pada sanadnya terdapat Tsabit bin Dinar, seorang perawi yang dha’if. Di dalam As-Sahih dari Hadith Ibnu Umar disebutkan, bahawa apabila dia mengucapkan salam kepada Abdullah bin Ja’faar, dia mengucapkan, “Assalamualaika, wahai anak yang memiliki dua sayap.”)
Abu Umar mengatakan, kami meriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa dia berkata, “kami mendapati antara dada Ja’faar hingga kedua pundaknya serta yang menghadap ke depan, 90 luka, baik luka kerana rembatan pedang mahupun hujaman tombak.”
Yang memperoleh syahid pada peristiwa itu di antaranya adalah Ja’faar, Zaid bin Haritsah, Abdullah bin Rawahah, Mas’ud bin al-Aus, Wahb bin Sa’ad bin Abu Sarh, Abbad bin Qais, Haritsah bin an-Nu’man, Suraqah bin Amru bin Athiyah, Abu Kalaib dan Jabir, keduanya anak Amru bin Zaid, Amir dan Amru keduanya anak Sa’id bin al-Harits, dan selain mereka.
Disediakan oleh: Abdul Halim Abdul Rahman,
( Rujukan : Kitab Zadul Ma’ad, karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Tahqiq: Abdul Qadir Al-Arna’uth dan Syu’ib Al- Arnu’th. m/s 123-128)
Allahu Akbar ..... !!!!!
ReplyDeleteSalam saudara, izinkan saya menyalin cerita ini ke blog saya..dan saya akan letakkan link ke blog saudara..kerana saya telah pergi melawat makam ketiga-tiga sahabah yang syuhada' ini di Mu'tah ..dan menjejakkan kaki di tanah yang menjadi medan Peperangan Mu'tah ini di Jordan baru-baru ini..
ReplyDeletePara sahabat berjuang bermatian untuk menegakkan Islam supaya kita semua jadi Islam.Apakah Islam yang kita anuti ini menepati kehendak para suhada .Para sahabat sanggup meninggalkan sanak saudara menegakkan Islam. Jangan kita lena kerana kita bernama Islam. Cuba semak samada akidah kita mampu menolong kita sewaktu di Padang Masyar. Masing-masing menjadi musuh antara satu sama lain.Tidak kira Ibu, Bapa, atau anak
ReplyDeletemereka pegang panji2 islam kan sampai syahid la ye?
ReplyDelete