Penulis: Ustaz Aizam Mas'od [Pegawai Penyelidik Akidah JAKIM]
Isu Wahhabi kembali muncul apabila ia mula diperkatakan terutamanya di beberapa akhbar arus perdana di negara ini. Ia kembali menjadi topik yang hangat dibincangkan oleh beberapa individu yang merasa terpanggil untuk barangkali mempertahankan fahaman atau ideologi masing-masing. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan terdapat dua kelompok utama yang begitu bersemangat dengan penuh komitmen dalam membawa isu ini ke pentas perdana sebagai paparan kepada masyarakat awam.
Pertama, golongan yang mempertahankan habis-habisan gerakan atau fahaman Wahhabi serta berusaha dengan apa cara sekalipun mengumpul hujjah untuk menyatakan bahawa kebenaran tetap berada di pihaknya tanpa sebarang kompromi. Manakala kumpulan kedua pula berusaha menegakkan hujjah-hujjah untuk menjatuhkan hukuman muktamad bagi menetapkan bahawa Wahhabi adalah kumpulan yang sesat atau dalam bahasa yang lebih lembut menyimpang daripada akidah Islam sebenar yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia iaitu akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Secara kasar, inilah dua kumpulan yang sering diberi ruang di dada-dada akhbar untuk membentangkan ideologi serta pandangan masing-masing terhadap isu ini sehingga ia menjadi panas serta mula heboh diperkatakan semula oleh masyarakat awam bermula daripada mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap oleh umum sebagai intelektual Islam.
Pada hakikatnya isu Wahhabi bukanlah satu isu baru yang kini perlu diterjemah, dikarang, dibahas mahupun dibangkitkan semula. Ini kerana isu ini telah lama bertapak di semenanjung Tanah Melayu dengan kemunculan satu golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda pada awal abad ke-20 yang lalu, kesan daripada pembawaan beberapa orang pelajar Malaysia dan Indonesia yang berkesempatan menceduk ilmu agama di Mekah, Mesir dan India.
Pada waktu itu tempat-tempat tersebut telah dipengaruhi oleh gerakan Wahhabi yang mendukung idea Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, manakala di Mesir timbul gerakan Islah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Keadaan seperti ini juga berlaku di India dengan ajaran Waliyyullah al-Dahlawi.
Di Malaysia gerakan dakwah Salafiyyah yang dibawa oleh Kaum Muda ini akhirnya lebih dikenali oleh masyarakat awam sebagai kumpulan Wahhabi, ia amat sinonim dengan kumpulan tersebut memandangkan cara pergerakan mereka yang agak agresif, tambahan pula gelaran ini merupakan panggilan yang seringkali dicanang oleh musuh-musuh tradisi puak Wahhabi seumpama kumpulan-kumpulan tarekat dan golongan Asya'irah beraliran kesufian.
Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh dipesongkan oleh mana-mana pihak, pertentangan sememangnya pernah berlaku antara Kaum Muda dan Kaum Tua satu masa dahulu, namun setelah beberapa lama isu ini mendiamkan diri, nampaknya ada pihak yang kembali memukul gendang menghingarkan suasana mengajak masyarakat berbicara semula berkisar isu yang kian menyepi ini.
Dalam menangani isu ini, kita perlu jelas tentang apakah isu sebenar yang ingin kita tangani? Adakah kita ingin menangani Wahhabi sebagai satu kumpulan ajaran sesat? Atau sekadar menangani isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan ini seumpama menolak tahlil arwah, menolak talqin mayat, menolak wirid selepas solat fardhu, menolak bacaan Yasiin pada malam Jumaat, bid'ah membid'ah dan sebagainya yang bersifat boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
Bertitik tolak dari persoalan inilah maka kita perlu memulakan langkah dalam menangani gerakan Wahhabi. Menjawab kepada persoalan pertama, adakah Wahhabi merupakan satu kumpulan sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Sekiranya ini yang kita pilih maka ia perlu dilihat bukan sahaja dari aspek Wahhabi dalam konteks Malaysia bahkan bermakna kita juga terjebak ke dalam menghukum sebuah negara besar umat Islam sebagai sesat, begitu juga beberapa ulama Islam dahulu dan kini yang tersohor juga sesat seumpama Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, al-Zahabi, Ibnu Kathir, Ibnu Abi al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Uthaimin, Ibnu Baz, Nasir al-Din al-Albani dan selainnya. Adakah benar mereka ini mempunyai kaitan dengan isu Wahhabi yang ingin kita tangani di negara ini?
Merujuk kepada sejarah umat Islam, Wahhabi sering dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang cuba untuk menghidupkan kembali Mazhab Salaf dalam memahami akidah Islam. Mazhab Salaf pula bukanlah sesuatu yang direka-reka seperti dakwaan golongan yang terlalu fanatik dalam menolak fahaman Wahhabi. Sebagai contoh Mazhab Salaf dalam pembicaraan 'nas-nas mutasyabihat' (nas-nas yang zahir lafaznya menyamai sifat makhluk) disifatkan sebagai mengambil pendirian 'al-tawaqquf al-kamil'. Ibnu al-Jauzi menegaskan apa yang dimaksudkan dengan al-tawaqquf al-kamil di sisi Mazhab Salaf itu ialah tidak berpihak kepada 'takwil' (mengambil makna lain dari sudut bahasa) dan tidak terjebak kepada 'tasybih' (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk). (Dirasat fi al-Firaq wa al-'Aqa'id al-Islamiyyah, ms. 196, dinukil daripada kitab Ibnu Jauzi, Daf'u Syubah al-Tasybih)
Sejarah juga menjadi saksi bahawa gerakan menghidupkan semula Mazhab Salaf ini didirikan semula di tengah-tengah zaman keagungan Mazhab Asya'irah yang pada ketika itu telah mendapat kedudukan yang begitu tinggi dan meluas di dalam dunia Islam. Mazhab Asyai'rah bermula apabila Abu al-Hasan al-Asy'ari (332H) mula menulis hujjah-hujjah bangkangan terhadap golongan yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, khususnya golongan Mu'tazilah dengan menggunakan metod pemikiran sehingga menggugat kedudukan Mu'tazilah pada ketika itu. (Tamhid Li Tarikhi al-Falsafah al-Islamiyyah, ms. 289) Hasilnya perjuangan beliau telah melahirkan tokoh-tokoh Ahli Sunnah yang ramai seumpama al-Qadhi al-Baqillani (403H), al-Isfarayini (418H), Abu Mansur al-Baghdadi (429H), Imam al-Haramain al-Juwaini (478H), al-Ghazali (505H) dan selainnya begitu ramai.
Ketika inilah munculnya barisan pendokong Mazhab Salaf yang terdiri daripada para ulama Hadith, khususnya golongan Hanabilah yang antara mereka begitu tegas dalam mengambil zahir nas sehingga mereka ini juga dikenali sebagai al-nassiyun atau al-harfiyyun atau al-naqliyyun. Antara tokoh-tokoh yang terkenal dalam memperjuangkan aliran ini adalah Syaikh al-Islam Abu Ismail al-Ansari al-Harawi (481H), Ibnu Qudamah al-Maqdisi (620H), Ibnu Solah al-Syahrazuri (643H), Ibnu Taimiyyah al-Harrani (728H) dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. (Dirasat fi al-Firaq Wa al-'Aqa'id, ms. 139)
Golongan di atas cuba menghidupkan kembali Mazhab Salaf bermetodkan Hanabilah yang berasaskan pengambilan dalil-dalil akidah hanya bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah. Mereka menolak metod memahami akidah berasaskan pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh Mu'tazilah dan Asya'irah terutamanya sebahagian ulama Asya'irah yang melampau dalam merujuk kitab-kitab falsafah sehingga tidak dapat membezakan antara falsafah dan ilmu kalam seumpama yang berlaku kepada al-Baidhawi (661H) dalam kitabnya 'al-Thawali' dan 'Adhud al-Din al-Iji (705H) dalam kitabnya 'al-Mawaqif'. Imam al-Taftazani dalam muqaddimah kitabnya 'Ilm al-Kalam Wa Ba'dh Musykilatih' (ms. Ba) pernah menyebut: "Yang benar, sesungguhnya para mutakallim Islam khususnya golongan yang kebelakangan tidak lagi berhenti pada kadar untuk menjelaskan akidah, tetapi mereka telah melampaui sehingga berbincang tentang perkara-perkara yang hampir kepada falsafah tulin…".
Kesimpulannya, golongan Salafiyyah yang mendokong Mazhab Salaf ini wujud sebagai tindak balas kepada penggunaan Ilmu Kalam yang semakin berleluasa oleh Mazhab Asya'irah pada zaman tersebut. Ia semakin popular pada zaman Ibnu Taimiyyah apabila beliau begitu lantang dan tegas sekali dalam menolak metod pemikiran yang digunakan oleh Asya'irah untuk mensabitkan akidah. Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang paling kuat dalam menentang kebatilan dan kesesatan yang dibawa oleh golongan Syiah dan tarekat sufi. Maka umat Islam pada ketika itu dapat dilihat terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok menjadi pengikut kuat Ibnu Taimiyyah dan mengambil pandangan-pandangannya sehingga mereka menggelarkannya sebagai Syaikh al-Islam. Sementara kelompok kedua pula menentangnya, mengkritik pandangannya bahkan menyesatkannya. Seterusnya aliran Salafiyyah ini dikembangkan dengan lebih keras lagi di bawah bimbingan Muhammad bin Abdul Wahab (1206H) pada kurun ke-12 hijrah sehingga akhirnya aliran ini bertapak kukuh terutamanya di Arab Saudi dan beberapa tempat lain di dunia Islam seumpama di India dan Pakistan.
Hasil daripada ketrampilan dan kewibawaan pengasasnya iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, maka lahirlah satu gerakan dakwah yang teratur dan terancang dalam memerangi bid'ah dan khurafat yang berlaku di zamannya, di samping berusaha dengan gigih mengembalikan metod Mazhab Salaf dalam memahami akidah tambahan pula ia telah mendapat sokongan padu daripada pemimpin setempat iaitu Amir Muhammad bin Saud (1197H) yang akhirnya telah membantu perluasan pengaruh gerakan ini ke seluruh semenanjung Tanah Arab.
Hakikatnya Muhammad bin Abdul Wahab tidaklah bertujuan membawa fahaman baru atau mazhab baru yang terkeluar daripada mazhab empat yang utama, beliau sendiri pernah menegaskan, katanya: "Dan adapun mazhab kami adalah mazhab Imam Ahmad bin Hanbal Imam Ahli Sunnah pada perkara furu' dan kami tidak mengajak berijtihad, tetapi apabila nyata kepada kami Sunnah Sahihah daripada Rasulullah s.a.w. maka kami mengamalkannya, dan kami tidak sekali-kali mendahulukannya (Nabi s.a.w.) dengan sesiapa jua". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)
Muhammad bin Abdul Wahab juga mengakui bahawa beliau mempunyai qudwah (model) yang menjadi idola ikutannya iaitu Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, namun bukan semua itu diikuti dengan membuta tuli, beliau berkata: "Ibnu Qayyim dan gurunya (Ibnu Taimiyyah)…kitab-kitab mereka di sisi kitab adalah seutama kitab (rujukan penting), melainkan kami tidak bertaqlid dengannya dalam kesemua masalah". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)
Seterusnya Muhammad bin Abdul Wahab juga menegaskan bahawa beliau berusaha untuk menjadi seorang pengikut Sunnah bukan terkeluar daripada Sunnah, dalam risalah beliau kepada Abdul Rahman bin Abdullah al-Suwaidi, alim ahli Iraq, beliau berkata: "Dan aku memberitahumu sesungguhnya aku dengan penuh kesyukuran seorang pengikut (Sunnah) dan bukan mubtadi' (ahli bid'ah), akidahku dan agamaku yang aku berpandu adalah Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang didokong oleh para imam muslimin, seumpama imam yang empat dan pengikut mereka sehingga ke Hari Kiamat". (Al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asolah Wa al-Mu'asarah, ms. 49)
Namun begitu gerakan Wahhabiyyah tidak sunyi daripada kesalahan dan kesilapan terutama dalam metod mereka berdakwah mengajak manusia kembali kepada Manhaj Salaf yang sebenar. Muhammad Abu Zuhrah menyebut dalam kitabnya beberapa kesilapan metodologi dakwah yang disebar oleh gerakan Wahhabiyyah, antaranya kata beliau: "Mereka (Wahhabiyyah) tidak cukup menjadikan hanya ibadat yang mesti diikuti mengikut Islam sebagaimana dalam al-Qur'an dan Sunnah serta (pandangan) Ibnu Taimiyyah, bahkan juga mengkehendaki adat juga hendaklah tidak terkeluar daripada lingkaran Islam lalu mereka mewajibkan (orang lain) apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka, kerana itu mereka mengharamkan rokok, bahkan bertegas dalam pengharamannya, sehingga golongan awam di kalangan mereka menganggap perokok adalah seumpama orang musyrik, maka mereka seumpama Khawarij yang (satu ketika dahulu) mengkafirkan pelaku dosa besar". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)
Muhammad Abu Zuhrah seterusnya memberi kesimpulan bahawa punca kesilapan mereka adalah kerana keterlaluan dalam berpegang kepada pandangan Ibnu Taimiyyah, tambahan pula mereka telah melebarkan lagi mafhum bid'ah sehingga menganggap perkara yang langsung tiada hubungkaitnya dengan ibadat juga termasuk ke dalam erti kata bid'ah, sedangkan bid'ah sebenarnya adalah perkara-perkara ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tanpa mempunyai asas dalil agama, contohnya meletakkan kain tirai di atas Raudhah al-Syarifah ia tidak dikatakan oleh sesiapa pun bahawa ia termasuk perkara ibadat tetapi mereka melakukannya dengan maksud menghiasinya supaya kelihatan cantik pada pandangan yang melihat… ". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)
Walau bagaimanapun Muhammad Abu Zuhrah tidak pernah mengatakan kesalahan ini adalah berpunca rentetan kesalahan tokoh impiannya iaitu Ibnu Taimiyyah dalam memahami akidah, bahkan dalam bukunya, beliau meletakkan satu bab khusus berkenaan Ibnu Taimiyyah menceritakan betapa gigihnya perjuangan Ibnu Taimiyyah dalam menghidupkan kembali aliran Mazhab Salaf dalam memahami akidah sehingga ditimpa dengan pelbagai ujian yang berat dan sampai kepada tahap menggugat keselamatan nyawa dan dirinya sendiri. Inilah contoh sifat amanah ilmiyyah yang dimiliki oleh Muhammad Abu Zuhrah, walaupun beliau seorang yang beraliran Asya'irah dan bersikap kontra dengan pemikiran Wahhabiyyah namun beliau tidak menghukum membabi buta setiap tokoh yang dianggap penyumbang kepada gerakan ini.
Walau apa pun kelemahan yang terdapat pada gerakan Muhammad bin Abdul Wahab namun jasa-jasa yang pernah disumbangkan oleh tokoh ini tetap tidak dilupakan, sekiranya dikaji dengan lebih jauh terdapat komentar-komentar yang berbentuk penghargaan telah dirakamkan oleh ulama-ulama dahulu dan kini terhadap gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Antara para ulama' yang memuji atas jasa gerakan Muhammad bin Abdul Wahab adalah Imam Son'ani (pengarang kitab Subul al-Salam), Imam Syaukani (pengarang kitab Nail al-Authar), Syaikh Muhammad Rasyid Ridha, Abu al-'Ala al-Mawdudi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syaikh Muhammad al-Ghazali, Syaikh Muhammad Qutub dan lain-lain yang kebanyakannya merupakan pendokong gerakan-gerakan Islam semenjak dahulu hingga kini yang berusaha mengembalikan khilafah Islam yang runtuh pada suatu ketika dahulu.
Kita juga boleh merujuk kepada pandangan-pandangan penulis sejarah semasa seumpama Muhammad Kurd (kitab al-Qadim Wal Hadith), Hafiz Wahbah (kitab Jazirah al-Arab fil Qarn al-'Isyrin), al-Zirkili (kitab al-'Alam) dan 'Abbas Mahmud al-'Aqqad (kitab Al-Islam fi al-Qarn al-'Isyrin). Sekiranya pengkajian dilakukan dengan pemikiran yang terbuka maka kitab-kitab ini akan dibaca dengan lapang dada namun sekiranya tidak sudah tentu semua nama-nama yang dinyatakan di atas juga akan dituduh sebagai penganut Wahhabiyyah atau cenderung (bias) Wahhabi walaupun mereka hanya merupakan pemerhati dan pengkaji sejarah yang profesional.
Berbalik kepada isu sebenar kepada persoalan pertama di atas iaitu, adakah Wahhabiyyah merupakan salah sebuah ajaran sesat? Jawapan mudah yang kita boleh berikan ia bukanlah sebuah ajaran sesat bahkan akidah golongan ini adalah masih berada dalam lingkungan kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Justeru itu kita tidak dapati kitab-kitab yang membicarakan persoalan Firaq Islamiyyah (Pecahan Mazhab Akidah Islam) masakini memasukkan mereka sebagai golongan ahli bid'ah, tetapi mereka boleh kita kategorikan sebagai antara golongan yang tasyaddud (keras) dalam mempertahankan alirannya dan sememangnya sudah menjadi lumrah setiap yang berlebih-lebihan itu akan membawa keburukan kepada ahlinya sendiri, maka dengan itu kita akan dapati terdapat golongan yang terlalu berang dengan kewujudan kumpulan ini sehingga ke peringkat menyesatkan mereka bahkan ke peringkat mengkafirkan mereka.
Di negara-negara Islam Timur Tengah pertembungan antara Wahhabiyyah (yang dikatakan mewakili golongan yang mendokong Mazhab Salaf atau aliran Salafiyyah) dengan beberapa individu serta kumpulan tertentu yang mendokong aliran Asya'irah sememangnya berlaku. Banyak kitab-kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh aliran masing-masing untuk mempertahankan ideologi mereka. Di sebelah pihak yang mewakili Wahhabiyyah sudah tentulah tokoh-tokoh tersebut tertumpu kepada ulama-ulama besar serta ahli-ahli akademi yang berasal dari Negara Arab Saudi yang menjadi pusat pertumbuhan aliran ini, mereka hanya meneruskan kesinambungan mempertahankan akidah yang mereka terima semenjak turun temurun sebagaimana yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 hijrah yang lalu.
Manakala di pihak yang menentang pula maka timbul beberapa nama yang cukup terkenal dalam usaha menentang keras aliran Wahhabiyyah, maka lahirlah nama-nama seumpama Muhammad Zahid al-Kauthari (1371H) yang terkenal dengan kitabnya 'Maqalat al-Kauthari', Hasan al-Maliki pengarang kitab 'Muzakkirat al-'Aqa'id' dan yang paling menonjol pada ketika ini iaitu Hassan bin Ali al-Saqqaf yang banyak mengarang kitab-kitab menolak gerakan Wahhabiyyah bahkan sampai kepada tahap cuba menolak kewujudan aliran Mazhab Salaf (yang berlainan pandangan dengan mazhab Asya'irah) serta pendokong-pendokongnya seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah serta selainnya.
Kelantangan al-Saqqaf berdakwah dalam memerangi Wahhabiyyah atau Salafiyyah terutama di Negara Jordan juga didokong dan disokong penuh oleh satu kumpulan beraliran ekstrimis Asya'irah bergelar al-Ahbasy. Al-Ahbasy merupakan satu kumpulan yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habasyi yang berpandangan cukup melampau dalam membangkang golongan Wahhabi dan Salafi sehingga ke peringkat mengkafirkan beberapa ulama Islam tersohor secara terang lagi nyata seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi. Tindakan mereka ini akhirnya telah membawa kepada pengharaman kumpulan ini dengan difatwakan sebagai sesat oleh beberapa ulama besar dan institusi fatwa terkemuka seumpama Prof. Ali Jum'ah, Mufti Mesir, Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar, Institut Kajian Ilmiyyah Arab Saudi dan Majlis Tertingga Fatwa Amerika Selatan.
Pemikiran al-Saqqaf ini juga tidak disenangi oleh para ulama Asya'irah semasa seumpama Syaikh Syuaib al-Arna'uth yang merupakan muhaqqiq hadith tersohor, begitu juga para ahli akademi seumpama Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi, Dekan Kulliyyah al-Dirasat al-Fiqhiyyah Wa al-Qanuniyyah Universiti Al al-Bayt, Jordan yang merupakan pengarang kitab Usul al-Din al-Islami yang menjadi sebahagian silibus pengajian kebanyakan universiti-universiti Timur Tengah pada hari ini. Mereka memberi komentar bahawa kaedah pendekatan yang dibawa oleh al-Saqqaf boleh menimbulkan salah faham di kalangan generasi baru umat Islam terhadap tokoh-tokoh ulama terdahulu serta menggalakkan budaya tuduh-menuduh serta boleh membawa kepada fitnah kafir mengkafir sesama umat Islam.
Di samping itu al-Saqqaf juga dikatakan mempunyai kecenderungan kepada Syiah walaupun beliau bukan seorang Syiah (istilah Arab dipanggil mutasyaiyyi'), ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan beliau yang banyak menyebelahi Syiah seumpama mempertikaikan Mu'awiyah sahabat Rasulullah s.a.w., mentashihkan hadith "ana madinat al'ilmi wa Aliyyu babuha" (aku bandar ilmu sedangkan Ali pintunya), menolak hadith Kitab Allah dan Sunnahku dan mentashihkan hadith Kitab Allah dan Ahli Baytku serta pandangan selainnya yang menyebabkan beliau dituduh sebagai berkecenderungan Syiah. Antara kesan buruk daripada kelantangan golongan ini menentang golongan Salafiyyah, akhirnya ia telah memberi satu kelebihan buat mazhab Syiah untuk memantapkan hujjah-hujjah mereka, sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab Syiah kontemporari kita akan dapati satu metod baru yang dilaksanakan oleh Syiah adalah menggunakan bahasa Ahli Sunnah untuk menolak Ahli Sunnah sendiri. Antaranya ia boleh dirujuk di laman web Syiah beralamat di aqaed.com/shialib/books.
Secara keseluruhan apa yang dibahas, dibincang dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah ini sama ada golongan ekstrimis Asya'irah mahupun ekstrimis Salafiyyah Wahhabiyyah adalah terlalu jauh untuk difahami oleh lapisan masyarakat umat Islam di Malaysia yang setakat mempunyai pengetahuan asas dalam agama. Di dalam kitab-kitab pihak yang bercakaran ini tumpuan perbahasan adalah berkisar perkara-perkara khilaf berhubung masalah ayat-ayat mutasyabihat (yang zahirnya menyerupai makhluk) sama ada ia perlu ditakwil ataupun tidak, soal menentukan Manhaj Salaf yang sebenar antara metod takwil dan tafwidh, mempersoalkan kesahihan dari sudut pendalilan sesuatu hukum, mempersoalkan kedudukan martabat satu-satu hadith yang dijadikan sumber hukum, mempersoalkan kewibawaan tokoh satu-satu aliran malah sehingga ke peringkat mempersoalkan akidah seseorang tokoh dan alirannya seolah-olah mereka bukan dari Ahli Sunnah bahkan mengeluarkan mereka daripada Islam!
Apakah isu yang seumpama ini sesuai untuk dibangkit serta diwar-warkan ke seluruh negara dengan alasan ia perlu untuk menjamin kesejahteraan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sekian lama wujud di negara ini. Jika itu alasannya maka satu persoalan yang perlu dilontarkan adakah sebelum wujudnya aliran Wahhabiyyah maka umat Islam di negara ini sudah benar-benar berpegang teguh kepada Ahli Sunnah yang beraliran Asya'irah tanpa memasukkan ke dalamnya sebarang anasir atau unsur-unsur luar seumpama pengaruh sesetengah tarekat kesufian (tasawwuf teosofi) yang menyimpang dan adat setempat yang bersalutan dengan pelbagai khurafat. Jika jawapannya benar maka memang tepat sekali kita membenamkan terus gerakan Wahhabiyyah ini kerana ia sememangnya mengancam akidah umat Islam, tetapi sekiranya tidak maka kita perlu menilai apakah kesilapan sebenar mereka dan seterusnya menangani mereka mengikut kadar kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan tanpa perlu lebih daripada itu.
Kesimpulannya kita hendaklah bersikap lebih adil dalam menilai pihak yang terlibat dalam isu ini, Wahhabiyyah di Malaysia hendaklah ditangani sebagai satu isu yang timbul hasil daripada sikap kefanatikan sesetengah pendokong dan pengikutnya. Ia tidak wajar dihukumkan sehingga melibatkan mereka yang langsung tiada kena-mengena dalam isu ini seumpama membabitkan pengkafiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim serta pengharaman buku-buku mereka sehinggalah wujud satu tradisi mengajak masyarakat label-melabel tokoh-tokoh ulama besar termasuk menuduh Dr. Yusof al-Qardhawi sebagai Wahhabi bahkan mana-mana ulama yang beraliran kontra dengan Asya'irah adalah termasuk ke dalam golongan Wahhabiyyah.
Lihat bagaimana ketika Dr. Yusof al-Qardhawi ditanya tentang dakwaan bahawa gerakan Ikhwan Muslimun beriktikad dengan aliran Asya'irah. Beliau menjawab: "Tuduhan bahawa Ikhwan Muslimun termasuk ke dalam Asya'irah tidak langsung mengurangkan kedudukan mereka, ini kerana umat Islam sendiri majoriti mereka adalah Asya'irah Maturidiyyah-mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari, Malikiyyah dan Syafi'iyyah beraliran Asya'irah manakala Hanafiyyah beraliran Maturidiyyah. Universiti-universiti agama di dunia Islam juga Asya'irah atau Maturidiyyah: al-Azhar di Mesir, al-Zaitunah di Tunisia, al-Qurawiyyin di Maghrib dan Dioband di India…maka sekiranya kita mengatakan bahawa Asya'irah bukan Ahli Sunnah sudah tentu kita akan menghukum umat Islam keseluruhannya dengan kesesatan…manakala saudara kita Salafiyyun yang mencela Asya'irah secara mutlak, mereka melakukan kesilapan dan melampau, oleh itu Asya'irah (sememangnya) adalah daripada Ahli Sunnah…walaupun pada hakikatnya Ikhwan Muslimun bukanlah pada umumnya beraliran Asya'irah, dan tidak juga memerangi Asya'irah, mereka menyandarkan akidah mereka pertama daripada al-Qur'an dan kedua daripada Sunnah seterusnya melihat daripada pandangan mana-mana pihak yang terbaik buat mereka…". (Islam Online)
Satu lagi contoh yang boleh kita bawa adalah fatwa Muhammad al-Soleh al-Uthaimin (Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dianggap sebagai tonggak Wahhabiyah) ketika beliau ditanya tentang hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan ahli takwil di kalangan umat Islam. Beliau menjawab: "Hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan bukanlah tanggungjawab kita, bahkan ia merupakan hak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, ia termasuk dalam hukum-hakam syara' yang perlu dirujuk kepada Kitab dan Sunnah, maka wajib kita tathabbut (teliti dengan mendalam) benar-benar tathabbut, maka tidak dikafirkan atau difasiqkan sesiapa melainkan orang yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah atas kefasiqannya atau kekafirannya, kerana asal seorang muslim itu kekal Islamnya dan kekal kejujurannya ('adalahnya) sehinggalah ada dalil syara' yang menunjukkan penafiannya". (al-Qawa'id al-Muthla fi Sifat al-Allah Wa Asma'ihi al-Husna, ms. 148)
Dua contoh di atas sudah cukup kepada kita untuk menunjukkan sifat adab dan amanah ilmiyyah yang masih dipegang oleh para ulama Ahli Sunnah walaupun boleh jadi mereka berbeza pandangan dengan sesama mereka namun mereka sedar bahawa kesemuanya masih dalam lingkungan Islam dan Ahli Sunnah. Inilah apa yang cuba diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna ketika beliau cuba menyatukan kembali umat Islam di zamannya di bawah gerakan Ikhwan Muslimun sehingga lahirnya Usul al-Isyrin yang menetapkan beberapa asas penting untuk mengembalikan kesatuan umat Islam pada waktu itu. Antara apa yang ditekankan oleh beliau adalah hakikat perselisihan pendapat yang wujud adalah tidak mungkin dielakkan, namun ia tidak sekali-kali boleh dijadikan alasan punca umat Islam mesti berpecah, malah perselisihan itu berlaku kerana kecintaan kepada Allah (untuk mencari realiti keilmuan yang benar) dan kerjasama untuk sampai kepada kebenaran tanpa sebarang perbalahan yang tercela dan unsur-unsur ketaksuban. (Majmu' al-Rasa'il, ms. 13)
Seorang sufi terkenal al-Harith al-Muhasibi sebagaimana yang disalin oleh Jamaluddin al-Qasimi di bawah bab 'Nasihat li Thalib al-Ilmi' (nasihat kepada penuntut ilmu) menyebut: "Hendaklah kamu wahai murid, memilih jalan yang beradab terhadap para imam yang lalu, dan jangan kamu melihat kepada perkataan (komen negatif) mereka ke atas (imam) yang lain melainkan dengan dalil yang nyata. Kemudian sekiranya kamu mampu mentakwilnya dan bersangka baik dengannya maka hendaklah berbuat demikian, sekiranya tidak maka tinggalkan apa yang berlaku di kalangan mereka, sesungguhnya kamu tidak dijadikan untuk ini (menghukum mereka), maka sibukkan diri dengan apa yang berfaedah kepada kamu dan tinggalkan apa yang tidak berfaedah kepada kamu". (al-Jarh Wa al-Ta'dil, ms. 73)
Setelah memahami kesemua fakta-fakta di atas dengan sebaik-baiknya, kesimpulan yang boleh dibuat ialah hanya satu sahaja masalah yang belum selesai sehingga terus menerus mengekang dan menguasai situasi beragama dan bermazhab di negara ini iaitu masalah kefanatikan atau ketaksuban kepada idelogi atau fahaman yang dipegang dan pelajari. Inilah isu sebenar yang belum selesai sehingga timbulnya isu seumpama ini yang akhirnya tiada berkesudahan. Kedangkalan memahami senario bermazhab di Malaysia yang telah sinonim dengan mazhab fiqh beraliran Syafi'iyyah (mazhab Syafi'e) serta mazhab akidah beraliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menolak semenjak dahulu lagi sebarang fahaman lain selain Ahli Sunnah seumpama Mu'tazilah, Syiah Rafidhah, Murji'ah, Khawarij dan sebagainya adalah punca utama yang menyumbang kepada krisis antara umat Islam di Negara ini semakin kronik.
Menurut Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek aqidah, fahaman Asya’irah adalah sinonim dengan Ahli Sunnah. Sementara aliran lain seperti Salaf Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunnah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati. (Abdul Shukor Husin 1998. Ahli Sunnah Wal-Jamaah Pemahaman Semula, Bangi: UKM)
Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah, mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama sebagaimana sebahagian mereka, untuk itu apa yang perlu ditangani adalah kesilapan dan kesalahan metod dakwah mereka yang menjadi punca timbulnya isu-isu kontroversi di dalam masyarakat dan bukan sehingga memperkatakan dan membesarkan isu-isu lain yang langsung tiada kena mengena dengan fenomena yang sedang berlaku khususnya di kalangan umat Islam Malaysia pada hari ini.
Selaras dengan pendirian tersebut Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM kali ke-14 pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa kumpulan Wahhabiyyah yang disandarkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab itu tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang perlu diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan perselisihan masalah cabang yang cuba dibangkitkan oleh segelintir mereka dari masa ke semasa. Bukannya dengan memperbesar-besarkan isu-isu lain yang tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Islam di Negara ini.

No comments:
Post a Comment